Jihad Pendidikan PPZ-MAIWP bantu pelajar sambil mendidik

in Edisi by

Abdul Aziz (enam dari kanan) menyampaikan sumbangan kewangan kepada Sabri
(tiga dari kiri) yang mewakil 250 pelajar asnaf dari Pusat Asasi Sains Universiti Malaya. FOTO: SINAR HARIAN/ MOHD HALIM WAHIDWarga pelajar dan pendidik UM bergambar bersama Abdul Aziz (tiga dari kiri) dan Sabri (tiga dari kanan) selepas berakhir majlis pelancaran Kempen Jihad Pendidikan. FOTO: SINAR HARIAN/ MOHD HALIM WAHIDAbdul Aziz (tiga dari kanan) turut menyerahkan sumbangan kewangan dan barangan kepada UMalaya Radio dan Foodbank UM. FOTO: SINAR HARIAN/ MOHD HALIM WAHID

KUALA LUMPUR – Bagi memastikan generasi muda memahami kepentingan berzakat, Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melancarkan kempen Jihad Pendidikan yang membabitkan pelajar dan pendidik.

Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, kempen itu juga diharap dapat memantapkan pelajar dan pendidik mengenai Rukun Islam keempat dengan pelancaran dibuat di Kompleks Perdana Siswa Universiti Malaya (UM) di sini.

**media[2005418]**

“Kerjasama ini juga bertujuan untuk memastikan keperluan pelajar asnaf dan B40 di UM mencukupi agar mereka dapat menimba ilmu sebaiknya selain dapat meningkatkan kesedaran menunaikan zakat dalam kalangan pendidik melalui potongan gaji,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kempen Jihad Pendidikan yang turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UM, Profesor Dr Sabri Musa di Kompleks Perdana Siswa Universiti Malaya (UM) di sini pada Rabu.

Sempena program itu, pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti Zakat Talk, Bual Santai @ UMalaya Radio bersama Pengerusi PPZ-MAIWP dan Zakat @ Personaliti bersama Perunding Imej Profesional, Muna Izzah Fadzli.

Dalam pada itu, menurut Abdul Aziz, kempen Jihad Pendidikan berkenaan adalah salah satu inisiatif pihaknya dalam mewujudkan kitaran zakat antara pembayar zakat dan penerimanya.

“Dengan bayaran zakat kepada PPZ-MAIWP ini akan diberikan terus kepada pihak MAIWP untuk disalurkan kepada asnaf yang layak termasuklah untuk bantuan pendidikan yang akan diterima oleh pelajar-pelajar asnaf,” katanya.

Beliau menambah, pasca perubahan pembelajaran dalam talian kepada fizikal meletakkan beban lebih berat kepada sesetengah pelajar universiti kerana berlakunya pertambahan tanggungan harus mereka hadapi.

“Disebabkan itu, terdapat juga pelajar UM yang memerlukan sumber kewangan sokongan (dari sumbangan zakat dan sebagainya) untuk meneruskan pengajian mereka di kampus dengan kos sara hidup kian meningkat,” katanya

Pada majlis sama, PPZ-MAIWP melalui dana pemegang wakalah dan individu menyampaikan sumbangan kewangan sebanyak RM200 setiap seorang kepada 250 pelajar asnaf dari Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM).

Selain itu, pek makanan turut diagihkan kepada 100 pelajar asnaf UM serta sumbangan kewangan dan barangan kepada UMalaya Radio dan Foodbank UM dengan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM85,000.

**media[2005420]**

Selain Jihad Pendidikan, PPZ-MAIWP turut menggerakkan kempen Jom Potong menyasarkan pemotongan zakat pendapatan secara bulanan yang diselaras dengan pembayaran cukai bulanan (PCB) sehingga 31 Disember ini.