Kerajaan disaran ambil pendekatan seiring sasaran lestari

in Bisnes by

Bank Dunia terlibat menyokong kerajaan dalam pembangunan kapasiti bagi beberapa bidang termasuk semakan semula perbelanjaan awam.
KERAJAAN diminta mengkaji semula dasar-dasar yang tidak seiring dengan matlamat lestari bagi memastikan usaha tersebut dapat dilaksanakan secara tepat dan berkesan, kata Pengarah Negara Bank Dunia bagi Filipina, Malaysia, Thailand dan Brunei, Dr Ndiame Diop.

Beliau berkata, ini termasuk pelaksanaan subsidi minyak bersasar bagi menjamin keberkesanan penggunaan sumber yang terhad itu.

“Kalangan penggubal dasar perlu menambah baik serta membolehkan pelaksanaan rangka kerja dasar yang relevan serta mencapai kepaduan dasar terbabit.

“Insentif juga penting bagi membolehkan pemain sektor kewangan menumpukan serta memperuntukkan semula pembiayaan bagi menyokong usaha peralihan,” katanya pada hari kedua Program Kepimpinan Pembiayaan Hijau Global (GFLP) anjuran Bank Dunia serta Institut Kewangan dan Kelestarian Beijing (IFS) di sini, pada Rabu.

Diop berkata, kerajaan juga boleh mengambil pendekatan lebih selaras yang mengambil kira kebimbangan berkaitan alam sekitar dalam membuat keputusan di sektor-sektor berbeza.

Beliau turut mengetengahkan beberapa usaha dilaksanakan oleh kerajaan bagi mewujudkan tindak balas peringkat ekonomi yang ketara terhadap krisis alam sekitar di sekitar rantau Asia Timur dan Pasifik.

Ini termasuk usaha Indonesia yang sedang mewujudkan rangka kerja kawal selia sebagai tindak balas terhadap peningkatan permintaan bagi penyelesaian iklim berasaskan alam semula jadi menerusi instrumen penetapan harga karbon.

Di Malaysia misalnya, Bank Dunia terlibat menyokong kerajaan dalam pembangunan kapasiti bagi beberapa bidang termasuk semakan semula perbelanjaan awam dan sebuah projek yang menangani isu-isu iklim dan berkaitan alam sekitar serta jurang data.

Bagi meningkatkan kesedaran dalam sektor kewangan, beliau berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) sedang bekerjasama dengan Bank Dunia mengenai satu kajian inovatif bagi meneliti tindakan untuk mengurangkan risiko kewangan berkaitan alam sekitar.

Diop juga menyifatkan terdapat banyak peluang bagi memanfaatkan pembiayaan swasta bagi mencapai cita-cita iklim, kerajaan, bank dunia serta penglibatan sektor kewangan untuk bekerjasama bagi meningkatkan akses kewangan peralihan.

Aspek kewangan peralihan itu adalah pendekatan pembiayaan baharu yang bertujuan menyokong syarikat-syarikat yang berusaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sejajar dengan strategi jangka panjang untuk mencapai masyarakat sifar karbon.

“Saya gembira melihat Malaysia di barisan hadapan usaha terbabit dengan (mengetengahkan) beberapa inisiatif yang berpotensi, termasuk Kemudahan Peralihan Karbon Rendah BNM bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana menerimaguna amalan lestari.

“Ini seperti insentif pemasangan panel solar dan meningkatkan kapasiti biojisim dan inisiatif bursa saham Malaysia baru-baru ini yang memperkenalkan Pasaran Karbon Sukarela menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Diop berkata, Bank Dunia juga bekerjasama dengan kalangan rakannya di 50 negara bagi menghasilkan rangka kerja kawal selia sektor kewangan domestik yang hijau atau mesra alam.

“Usaha kewangan peralihan ini boleh menjadi mekanisme penting dalam membantu sektor GHG tradisional beralih kepada proses pengeluaran rendah karbon.

“Syarikat-syarikat ini berisiko untuk ketinggalan dan pembiayaan diperlukan untuk beralih kepada hijau. Oleh itu, adalah penting untuk meningkatkan akses mereka terhadap kewangan peralihan itu,” katanya.

Diop berkata, pasaran kewangan lestari itu hanya sebahagian kecil daripada pasaran konvensional dan pelaburan untuk infrastruktur rendah karbon, berdaya tahan iklim di pasaran sedang pesat membangun misalnya dianggarkan mencecah sekurang-kurangnya US$1.55 trilion setahun bagi masa ini hingga 2030. – Bernama