Ketua Pembangkang DUN Pahang belum diputuskan

in Politik by

Tuan Ibrahim

KUANTAN – Perikatan Nasional (PN) Pahang belum memutuskan siapakah akan mengepalai pembangkang negeri itu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, segala keputusan berkenaan akan dibuat dalam mesyuarat PN di peringkat pusat dalam masa terdekat.

“Setakat ini belum putuskan lagi (siapa ketua pembangkang). Tapi kita akan berbincang dan selepas itu PN akan putuskan siapa yang akan menjadi ketua pembangkang.

“Kita mampu menjadi blok pembangkang yang sangat kuat kerana kita sudah menangi 17 kerusi DUN Pahang, tetapi kira kaedah menjadi pembangkang yang konstruktif dan berfakta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya ceramah perdana di bandar Baru Rompin, tengah malam Selasa.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), buat kali pertama gabungan parti politik di Pahang gagal menubuhkan kerajaan selepas tiada parti memperoleh majoriti.

Ia menyaksikan PN menang 17 kerusi, Barisan Nasional (BN) 16 kerusi dan Pakatan Harapan (PH) mendapat lapan kerusi, tidak termasuk kerusi DUN Tioman yang akan diketahui pada 7 Disember ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menyifatkan keputusan PRU15 merupakan satu gelombang perubahan daripada pengundi muda yang mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan bersih.

“Kenapa mereka beri undi kepada PN, saya ingat mereka sudah nilai pencapaian kita dalam waktu kita menjadi kerajaan peringkat Persekutuan.

“Mereka menilai prestasi kita, sebab itu mereka yakin apa yang kita capai dan mereka beri undi. Sebab itu gelombang perubahan itu berlaku pada anak muda. Mereka sebenarnya mahu kerajaan yang stabil, yang bersih,” ujar beliau.