Langkah pertama bendung ketirisan

in Nasional by

Laporan Sinar Harian pada Selasa.

SHAH ALAM – Ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menetapkan tiada lagi kelulusan perolehan tanpa tender merupakan langkah pertama kerajaan baharu untuk membendung amalan rasuah.

Anwar dalam ucapan di hadapan 340 penjawat awam sempena Majlis Perjumpaan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada Selasa berkata, Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya tidak akan mengizinkan kebocoran, ketirisan dan rasuah terus berleluasa.

Beliau juga menyeru kerjasama semua pihak terutama penjawat awam untuk menyelamatkan negara daripada unsur rasuah.

Ia memberikan sinar baharu selepas negara banyak terpalit dengan kes rasuah sekali gus dapat menyelamatkan berbilion duit rakyat.

Firma EMIR Research dalam satu kenyataan menganggarkan sebanyak RM3 trilion telah lenyap akibat rasuah, penyalahgunaan kuasa dan ketirisan dalam jangka masa 25 tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff menjelaskan, angka purata kira-kira RM12 bilion telah hilang sepanjang tempoh 25 tahun tersebut.

Ia merupakan wang rakyat yang tertiris dan sepatunya boleh disalurkan kepada subsidi tersasar melibatkan golongan berpendapatan rendah dan membantu membangunkan negara.