Maghribi intai slot kalah mati

in Sukan by

Walid Regragui

GERGASI Afrika, Maghribi yang mengintai peluang mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia Qatar 2022 apabila berdepan Kanada dalam perlawanan terakhir Kumpulan F di Stadium Al Thumama.

Misi pertama kali dalam hampir empat dekad penyertaan di kejuaraan berprestij bola sepak dunia tersebut akan direalisasikan dengan syarat Maghribi menewaskan atau seri berdepan pasukan Amerika Utara berkenaan.

Maghribi sebelum ini mencatat kemenangan pertama di Piala Dunia sejak 1998 apabila menewaskan pasukan ranking kedua dunia Belgium 2-0, mencetuskan keghairahan dalam kalangan pemain, selain sambutan liar para penyokong dan juga rusuhan di Brussels.

Dalam ujian terakhir peringkat kumpulan, Maghribi akan menentang Kanada, yang juga mencari kemenangan pertama dalam sejarah kejohanan selepas tersingkir daripada Piala Dunia pertama negara tersebut dalam tempoh 36 tahun.

Kemenangan atau seri akan membantu Maghribi untuk penampilan pertama pada pusingan 16 terbaik sejak edisi Mexico 1986.

Namun sekiranya Kanada menang, Maghribi memerlukan bantuan Belgium untuk menewaskan Croatia dalam perlawanan satu lagi perlawanan Kumpulan F lain, dengan perbezaan gol yang menentukan sama ada The Atlas Lions berkenaan atau pasukan ketiga terbaik edisi 2018 lebih layak.

“Saya percaya sekiranya Maghribi mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia Qatar 2022 kali ini, pasukan ini akan menjadi sangat berbahaya pada masa hadapan,” kata pengendali Maghribi, Walid Regragui.

Maghribi sebelum melakar kemenangan ke atas Belgium tanpa diduga menukar penjaga gol pada saat akhir sebelum sepak mula apabila Munir El Kajoui menggantikan Yassine Bounou.

Seorang doktor pasukan itu kemudian berkata bahawa Bounou telah berasa pening, namun akan cergas untuk aksi menentang Kanada.

Kanada pula yang tersingkir selepas tewas dalam dua perlawanan menentang Belgium dan Croatia, namun berjaya menjaringkan gol pertama di Piala Dunia – hanya 68 saat selepas sepak mula menentang Croatia.

Les Rouges kendalian John Herdman dengan tiada sebarang lagi yang untuk dipertaruhkan dalam kejuaraan tersebut akan memberi tumpuan meninggalkan Qatar 2022 dalam prestasi yang baik ketika mereka bersedia untuk menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia dengan Amerika Syarikat dan Mexico pada 2026.

Dengan Piala Dunia berkembang daripada 32 negara kepada 48 negara mulai edisi 2026, Kanada diyakini menggunakan pengalaman di Qatar 2022 sebagai asas kepada pembentukan semula pasukan yang lebih mantap menjelang sebagai tuan rumah bersama dalam tempoh empat tahun.