MBJB minta parti politik turunkan poster, bendera kempen

in Edisi by

Sebahagian daripada bendera parti yang masih kelihatan di sekitar kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) kesal dengan segelintir wakil parti yang masih belum menurunkan bahan kempen yang dipasang sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, kegagalan menurun dan mencabut bahan kempen berkenaan menyebabkan MBJB terpaksa mengambil tindakan mengikut undang- undang yang ditetapkan.

“Pihak berkaitan yang masih belum turunkan iklan-iklan kempen, bendera, sepanduk, gegantung atau lain-lain bahan kempen diminta segera melakukannya.

“Sebagaimana aku janji yang telah ditandatangani sebelum ini, semua parti politik diberi masa tujuh hari selepas hari mengundi iaitu sehingga 27 November (Ahad) untuk membersihkan semua bahan kempen,” katanya pada sidang akhbar sempena Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB di sini pada Rabu.

Menurut Mohd Noorazam, MBJB berhak menurunkan dan mencabut bahan kempen selepas tempoh yang ditetapkan selain berhak melucutkan hak pemulangan wang amanah atau deposit.

“Saya berharap semua wakil parti politik memberi kerjasama dengan mengikut peraturan yang ditetapkan MBJB.

“Berdasarkan pemerhatian saya, terdapat beberapa bahan kempen masih dapat dilihat terutama di kawasan Parlimen Tebrau.

“MBJB juga akan melakukan pemantauan di sekitar bandar raya bagi memastikan tiada lagi poster dan bendera parti selepas ini,” katanya.

Terdapat empat Parlimen di dalam kawasan pentadbiran MBJB iaitu Parlimen Tebrau, Parlimen Pasir Gudang, Parlimen Johor Bahru dan Parlimen Pulai.