MBJB peruntuk RM15 juta hadapi Monsun Timur Laut

in Edisi Johor by

Mohd Noorazam Osman

JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memperuntukkan RM15 juta sebagai persediaan berdepan Monsun Timur Laut yang boleh mengundang risiko berlakunya banjir.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, peruntukan itu digunakan bagi menambah baik dan menyelenggara sistem saliran khususnya di kawasan lembangan sungai.

MBJB telah melantik 10 syarikat bagi kerja-kerja melibatkan pembaikan saliran utama dan struktur di seluruh kawasan MBJB mengikut pecahan zon-zon bagi tempoh 12 bulan mulai Oktober lalu melibatkan peruntukan RM4 juta.

“Selain itu, empat syarikat telah dilantik bagi kerja-kerja penggalian mendapan dasar sungai yang kini sedang giat dilaksanakan di Sungai Pandan, Sungai Sengkuang, Sungai Tampoi dan Sungai Bala dengan kos RM1.25 juta.

“Ini tidak termasuk kos bagi sembilan lagi projek penggalian mendapan, pembersihan, menaiktaraf perangkap sampah dan pembaikan lain yang masih dalam peringkat penilaian tender,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, di sini pada Rabu.

Mohd Noorazam berkata, MBJB turut melantik 23 kontraktor bagi melaksanakan kerja penyelenggaraan pembersihan tahunan melibatkan peruntukan RM1.5 juta.

“Sebanyak RM7.2 juta diperuntukkan bagi projek tebatan banjir dengan melakukan pemasangan pam di tiga lokasi strategik dan pembinaan dua kolam air takungan di kawasan terpilih.

“Terdapat juga kerja-kerja penggalian yang dilaksanakan sendiri oleh pihak MBJB menggunakan jentera seperti di Sungai Ayer Molek dan Sungai Chat, di sini.

“MBJB juga telah melaksanakan dan akan terus melakukan kerja penyelenggaraan sungai secara berkala di semua saliran utama melalui kontraktor penyelenggaraan tahunan sebagai langkah tebatan banjir,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, MBJB akan terus memantau lokasi-lokasi hotspot banjir dalam kawasan Bandaraya Johor Bahru ini bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan risiko banjir.

Jelasnya, antara kawasan hotspot banjir di kawasan MBJB ialah di lembangan Sungai Skudai melibatkan Taman Tampoi Indah, Jalan Roda Utama-Jalan Skudai, Masjid Skudai Kiri, Batu 4 setengah, Jalan Skudai, Taman Johor, Kampung Pasir, Kampung Sri Jaya dan Kampung Sri Serdang.

Katanya, antara kawasan yang turut diberi tumpuan ialah di Lembangan Selat Johor di Kampung Mohd Amin, Jalan Kolam Ayer, Jalan Persiaran Abu Bakar Sultan dan Jalan Stulang Darat.

“Satu lagi hotspot banjir ialah di Lembangan Sungai Tebrau/Plentong antaranya Kempas Permatang, Kempas Lurah, Taman Istimewa, Taman Suria, Kampung Kangkar Tebrau, Kampung Plentong Baru dan Kampung Baru Pandan,” katanya.