PRU15: PN Pahang buru kerusi DUN ke-18

in Politik by

Saifuddin

ROMPIN – Perikatan Nasional (PN) Pahang meletakkan sasaran untuk menambah satu lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tioman bagi menjadikan 18 kerusi DUN dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 7 Disember ini.

Pengerusi PN negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, sasaran itu diyakini dapat diperoleh berdasarkan kekecewaan rakyat di negeri ini.

Beliau bagaimanapun menuntut kerjasama daripada semua kepimpinan dan akar umbi supaya bekerja kuat bagi memastikan DUN Tioman ditawan gabungan parti itu.

“Kita sudah ada 17 kerusi DUN Pahang, kita hendak tambah satu lagi kerusi demi suara rakyat yakni kerusi DUN Tioman. Kita akan hantar calon kita ke DUN Pahang.

“Jadi, kita semua perlu kerja kuat dan jaga semua kawan serta teman untuk bersama kita (PN). Kita berdoa agar beroleh kejayaan (kemenangan) tersebut,” katanya ketika menyampaikan ceramah perdana di bandar Baru Rompin pada malam Selasa.

Keputusan PRU15 menyaksikan PN memperoleh 17 kerusi DUN, manakala Barisan Nasional (BN) mendapat 16 kerusi dan lapan kerusi dimenangi Pakatan Harapan.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRU15 bagi DUN Tioman yang ditangguhkan susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli pada 3.30 pagi hari pengundian 19 November lalu, diadakan pada 7 Disember ini.

Calon PN DUN Tioman, Nor Idayu Hashim bakal dicabar calon PH, Mohd Fadzli Mohd Ramly, Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN), Oman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

Saifuddin menyatakan keyakinan kepada calonnya, Nor Idayu boleh menjadi suara generasi baharu, suara wanita muda dan wanita keseluruhannya serta penduduk di DUN Tioman.

“Beliau (Nor Idayu) saya lihat penuh keyakinan boleh menjadi seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau wakil rakyat Tioman yang akan menjaga semua orang tidak kira, tua, muda, lelaki mahupun wanita, kanak-kanak dan dewasa.

“Saya yakin, beliau akan kotakan katanya, namun biasanya kita bahagi tugas dalam sidang DUN berdasarkan kepakaran, latar belakang dan fokus yang tertentu,” ujar beliau lagi.