'Saya mahu kekal positif' – Pan-gon

in Sukan by

Para pemain Harimau Malaya giat menjalani latihan pusat sebagai persiapan mengharungi kempen Piala AFF 2022 pada Disember depan. – Foto Football Association of Malaysia

PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon menyifatkan ketiadaan pemain tonggak menjelang persiapan kempen Piala AFF 2022 pada Disember depan merupakan satu cabaran.

Bagaimanapun ketua jurulatih dari Korea Selatan itu tidak mengalah sebaliknya bertekad berusaha membentuk skuad mantap bagi mencabar kejuaraan Raja Bola Sepak Asia Tenggara tersebut.

Malah tanpa berselindung Pan-gon mengakui situasi menguruskan skuad tanpa beberapa pemain utama tersebut adalah kali pertama berlaku dalam kariernya.

“Ya, dalam karier saya ini merupakan kali pertama, namun saya perlu positif, saya boleh lihat lebih banyak pemain yang kita sudah cungkil bakat dan saya boleh melihat mereka secara bersemuka, bantu dan yakinkan mereka.

“Kami juga boleh meluaskan panggilan untuk kem latihan berpusat kebangsaan kepada lebih ramai pemain dan akan ada lebih banyak persaingan dalam pasukan kebangsaan. Jadi, saya mahu kekal positif.

“Lazim untuk mengatakan bahawa kami mahu menjadi juara, namun kami akan mencuba terbaik memberi keputusan positif dan akan berjuang untuk itu, cuba memberikan satu kebanggaan kepada para penyokong,” katanya semasa sesi latihan skuad Harimau Malaya di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya pada Selasa.

FAM sebelum ini mengumumkan senarai awal 41 pemain untuk menyertai latihan pusat tersebut, bagaimanapun selepas perbincangan dan persetujuan antara badan induk bola sepak negara, Pan-gon dan kelab yang terlibat, 12 pemain terpaksa menarik diri atas pelbagai sebab termasuk hal peribadi, urusan keluarga dan kecederaan.

Untuk rekod antara yang menarik diri tujuh pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) – Shahrul Mohd Saad, La’vere Lawrence Corbin-Ong, Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Arif Aiman Mohd Hanapi, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, Matthew Davies dan Muhammad Syafiq Ahmad.

Penarikan diri 12 pemain tersebut menyaksikan badan induk bola sepak negara itu memasukkan pemain pertahanan Selangor FC Muhammad Fazly Mazlan, sebelum disusuli permohonan dua pemain Kuala Lumpur (KL) City FC, Muhammad Akram Mahinan dan Declan Lambert untuk dikecualikan atas sebab peribadi.

Peraturan Status dan Perpindahan Pemain Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA); Lampiran 1: Bahagian Pelepasan Pemain Kepada Pasukan Kebangsaan Perkara 6 sebelum ini menyatakan bahawa adalah tidak wajib untuk melepaskan pemain di luar jendela antarabangsa atau kejohanan akhir yang termasuk dalam kalendar perlawanan antarabangsa.

Untuk rekod, kejuaraan Piala AFF diadakan di luar jendela antarabangsa FIFA,menyaksikan Harimau Malaya akan beraksi dalam dua perlawanan persahabatan menentang Kemboja di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 9 Disember diikuti Maldives di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 14 Disember.

Selain itu, skuad Harimau Malaya juga turut merancang mengadakan perlawanan ujian menentang skuad Harimau Muda Bawah 23 tahun (B-23) kendalian E Elavarasan, pada Jumaat ini.