TNB Melaka tebat pencawang elektrik elak dinaiki banjir

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by

TNB bersiap siaga dan menggiatkan siri-siri kempen keselamatan pepasangan TNB di musim tengkujuh terutama di kawasan penempatan berisiko banjir. (Gambar kecil: Khairizam)

MELAKA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersiap siaga dan menggiatkan siri-siri kempen keselamatan pepasangan TNB di musim tengkujuh terutama di kawasan penempatan berisiko banjir.

Pengurus Besar Negeri (Melaka) Jabatan Strategic Engagement Bahagian Regulatory dan Stakeholder Management TNB Khairizam Ibrahim berkata, beberapa langkah akan diambil termasuk menebat beberapa pencawangnya di kawasan ‘hotspot’ banjir bagi mengelakkan ia dinaiki air dan menyebabkan kerugian besar.

Menurutnya, tiga lokasi telah diberikan tumpuan bagi kerja-kerja itu membabitkan pencawang kawasan Taman Merdeka dan Sungai Putat (Daerah Melaka Tengah) serta Brisu di Alor Gajah

Kita meninggikan pencawang dengan cara menambah konkrit dan simen di pencawang yang terlibat.

“Dua lagi pencawang akan kita lakukan kerja yang sama pada tahun depan,” katanya beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi Networking Hi-Tea Bersama Pengamal Media Negeri Melaka di sebuah hotel di Ayer Keroh, pada Selasa.

Jelas beliau, ia perlu dilakukan kerana sekiranya pencawang dinaiki air hingga melepasi ke bahagian penting seperti alat suis, ia boleh menyebabkan kerugian besar mencecah RM50,000 bagi satu pencawang.

Selain itu ujar beliau, pihaknya akan kerap melakukan rondaan sewaktu banjir bagi memastikan pepasangan dalam keadaan baik.

Katanya lagi, TNB juga akan memastikan pusat pemindahan sementara (PPS) mempunyai bekalan elektrik yang stabil dan mencukupi.

“Kita akan bersedia untuk menyediakan generator mudah alih sekiranya diperlukan di kawasan-kawasan tertentu, termasuk PPS itu sendiri,” katanya.