Ahli Parlimen Belia harap Kelantan tidak dipinggirkan

in Edisi Kelantan by

Ahmad Farhan

KOTA BHARU – Ahli Parlimen Belia Kelantan berharap Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak meminggirkan negeri ini walaupun berbeza tampuk pentadbiran.

Perkara tersebut disuarakan oleh semua Ahli Parlimen Belia Kelantan iaitu Khairul Azhar Kamaruzaman, Ahmad Farhan Rosli, Thomas Loo Tong Sie, Muhammad Aiman Saipullah, Muhammad Afiqq Noh, Muhamad Hafizuddin Pauzi, Muhamad Qayuum Sazuki, Nik Mohd Najib Asyraf Nik Zulkifli, Mahmud Nazmi Mohd Razaman dan Mohamad Faisal Zamri menerusi satu kenyataan media secara bersama pada Khamis.

Wakil, Ahmad Farhan Rosli berkata, mereka mengharapkan projek pembangunan terutama yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) seperti naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Lebuhraya Pantai Timur dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diteruskan.

“Demikian juga pembangunan infrastruktur seperti naik taraf pos sempadan pintu masuk negara dan universiti di Gua Musang bagi mengangkat Kelantan sebagai Koridor Pembangunan Wilayah Timur,” katanya.

Menurut beliau, mereka mengusulkan Anwar melantik sekurang-kurangnya seorang senator bertaraf menteri daripada negeri ini untuk menyertai kabinet.

Ujarnya, langkah itu sekali gus dapat menzahirkan komposisi kabinet yang inklusif dan mewakili setiap kepentingan negeri di Malaysia.

“Kami, Ahli Parlimen Belia Malaysia Kelantan bersiap sedia menjadi jambatan ke arah pemuafakatan bersama antara kerajaan pusat dan negeri bagi memastikan nasib rakyat Kelantan terus terbela dan mendapat perhatian sewajarnya,” katanya.