Barisan kepimpinan PDRM buat kunjungan hormat ke atas PM

in Nasional by

Barisan kepimpinan tertinggi PDRM diketuai Acryl Sani (tengah) pada Khamis mengadakan kunjungan hormat terhadap Anwar ( tujuh dari kanan) di Perdana Putra, Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Barisan kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diketuai Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani pada Khamis mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perdana Putra, Putrajaya.

Kunjungan julung kali sejak Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lepas, turut disertai Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan barisan pengarah PDRM.

“Pertemuan yang diadakan hampir dua jam itu membincangkan isu-isu semasa dan taklimat berhubung keselamatan negara,” demikian menurut hantaran di laman rasmi Facebook PDRM.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin. – Bernama