DUN Sarawak lulus Belanjawan 2023 berjumlah RM10.797 bilion

in Edisi Sabah Sarawak by

Dewan Undangan Negeri Sarawak.
KUCHING – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Khamis meluluskan belanjawan negeri 2023 berjumlah RM10.797 bilion selepas dibahas dan digulung.

Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, usul Rang Undang-Undang Perbekalan (2023) diluluskan dengan undi majoriti.

Pada 21 November lepas, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg membentangkan belanjawan yang dijangka menjana lebihan RM238 juta dengan unjuran hasil RM11.035 bilion dan jumlah perbelanjaan biasa sebanyak RM10.797 bilion.

Belanjawan yang dicadangkan itu bertemakan ‘Sarawak First: Towards an Inclusive, Prosperous and Harmonious Society’ (Sarawak Diutamakan: Ke arah Masyarakat Inklusif, Makmur dan Harmoni), berpaksikan kepada lima prinsip antaranya membangunkan ekonomi yang lebih berdaya tahan, berdaya saing dan saksama.

Sementara itu, Abang Johari dalam ucapan penggulungan belanjawan itu hari ini berkata projek karbon hutan terkawal pertama akan dimulakan di Sarawak pada suku pertama tahun hadapan.

Beliau berkata, inisiatif itu akan didorong oleh entiti sektor swasta yang mempunyai pengetahuan teknologi dan sumber kewangan untuk memastikan kejayaan dan kemampanan projek berkenaan.

“Formasi geologi Sarawak yang stabil menyebabkan negeri ini mempunyai kapasiti penyimpanan karbon terbesar di kawasan luar pesisir. Dianggarkan Sarawak mempunyai 30 trilion meter padu kapasiti penyimpanan karbon di dasar laut pelantar benuanya.

“Peraturan akan dibuat oleh Kabinet negeri tidak lama lagi untuk mengawal aktiviti karbon hutan dan penyimpanan karbon dioksida di luar pesisir dan pesisir pantai Sarawak. Aktiviti ini akan menghasilkan kredit karbon yang boleh diniagakan dan menyediakan sumber pendapatan baharu buat Sarawak,” katanya. – Bernama