Jangkitan baharu HIV turun 70 peratus dalam tempoh 20 tahun

in Nasional by

Jangkitan baharu HIV atau AIDS di negara ini mencatatkan penurunan sebanyak 70 peratus dalam tempoh 20 tahun ini. – Gambar hiasan
SEREMBAN – Jangkitan baharu HIV atau AIDS di negara ini mencatatkan penurunan sebanyak 70 peratus dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli.

Beliau berkata, rawatan ubat antiretroviral (ARV) kepada orang yang hidup dengan HIV (ODHA) telah dipertingkatkan kepada 66 peratus pada tahun lepas berbanding 28 peratus pada 2015.

“Kadar penurunan kes HIV dan peningkatan liputan rawatan ini masih belum mencukupi untuk negara membendung AIDS sehingga ia tidak lagi menjadi isu kesihatan awam menjelang 2030.

“Ketidaksamaan masih menjadi penghalang kepada usaha ini. Justeru, dalam memastikan kesaksamaan dicapai, ketersediaan, kualiti dan kesesuaian perkhidmatan rawatan, ujian dan pencegahan HIV mesti dipertingkatkan,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 bertemakan ‘Equalize: Kesaksamaan untuk kesihatan bagi mengakhiri AIDS’ di sini pada Khamis.

Dr Norhayati berkata, uji dan rawat HIV terus diperkukuh dan dipertingkatkan dengan memperkenalkan saringan HIV kendiri untuk menarik lebih ramai kalangan populasi kunci dan pasangan menjalani saringan dan seterusnya rawatan.

Beliau berkata, perkhidmatan Differentiated HIV Services for Key Populations (DHSKP) Model KK 2.0 yang dilaksanakan di 31 klinik kesihatan dengan kerjasama pintar kerajaan dan badan bukan kerajaan (GONGO) akan diperluas bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan.

“Konsep U=U atau ‘Undetectable = Untransmittable’ adalah konsep penting dan terbukti berkesan dalam mengekang jangkitan HIV. ODHA yang mengambil ubat ARV mengikut jadual ditetapkan, boleh hidup seperti individu normal (tanpa HIV) kerana virus tidak lagi dikesan dan secara amnya tidak boleh menjangkiti individu lain,” katanya.

Menurut Dr Norhayati, bagi pasangan kepada ODHA, rawatan Rawatan PrEP (Pre-Exposure Prophylaxis) akan dimulakan di klinik kesihatan pada 2023.

Katanya, rawatan PrEP berkemampuan untuk mengurangkan risiko mendapat jangkitan HIV melalui seks sebanyak kira-kira 99 peratus apabila diambil mengikut preskripsi yang ditetapkan.

Selain itu, program Pengurangan Stigma dan Diskriminasi melalui Pendekatan Peningkatan Kualiti yang dijalankan di fasiliti kesihatan turut berjaya mengurangkan stigma dan diskriminasi terhadap ODHA dalam kalangan kakitangan kesihatan.

Jelasnya, program itu diperluas di 55 fasiliti kesihatan di seluruh negara dan dijangka diperluas ke semua fasiliti kesihatan pada masa akan datang.

Beliau berkata, kerajaan akan terus menerajui kepimpinan dan memberikan komitmen penuh dalam agenda negara menangani HIV dan merealisasikan kesaksamaan ke arah matlamat mengakhiri AIDS menjelang 2030.

Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAM) Dr Dinesh Mahalingam berkata, transmisi HIV secara seksual dalam kalangan golongan belia berumur 13-39 tahun membimbangkan berdasarkan peningkatan 80 peratus bagi golongan itu.

Beliau berkata,strategi khusus perlu dirancang bagi menangani permasalahan tersebut serta usaha berterusan dalam meningkatkan peratusan ARV dalam kalangan pesakit, sehingga tahun lepas hanya mencapai 66 peratus mengikut ‘HIV Testing and Treatment Cascade’.

Menurut Dr Dinesh, sekurang-kurangnya pelaburan RM10 juta hingga RM12 juta setahun diperlukan melalui mekanisme dana domestik yang sedia ada untuk merancakkan penggemblengan tenaga di peringkat akar umbi dan dapat memberikan hasil secara jangka panjang.

Katanya, MAM sentiasa berpegang teguh kepada prinsip kesaksamaan dan nilai-nilai kemanusiaan bahawa setiap individu tanpa mengira bangsa, kepercayaan, gender, seksualiti dan taraf sosioekonomi berhak untuk hidup sihat dan bebas daripada ancaman diskriminasi dan prejudis. – Bernama