Mat Sabu gemuruh berkongsi pentas ceramah dengan BN

in Politik by

Mohamad Sabu

ROMPIN – “Kali pertama berada di pentas BN, saya berdebar-debar,” itu reaksi Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu ketika ditanya perasaannya ketika menyampaikan ceramah umum bersama BN sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pada malam Rabu.

Mohamad menggambarkan perasaan itu kerana beliau tidak pernah terfikir untuk berada satu pentas dengan BN bagi menyampaikan ceramah seterusnya berkempen bersama-sama untuk memenangkan calon BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain pada pemilihan 7 Disember ini.

“Kali pertama atas pentas BN ini saya berdebar, memang satu benda serta peristiwa baharu sebab saya mendokong keputusan PH.

“Saya diminta oleh mesyuarat PH semalam (Selasa) untuk hadir malam ini bagi mengesahkan calon BN mewakili PH DUN Tioman ini. Tidak pernah lagi dikelilingi oleh rakan UMNO,” kata beliau.

Selain Mohamad, ceramah julung kali diadakan secara bersama itu turut dihadiri Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi PH Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari dan bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.

Kir-kira 500 orang hadir bagi mendengar ceramah yang disampaikan empat pemimpin itu berhubung perkembangan semasa hubungan kedua-dua parti terbabit selepas membentuk Kerajaan Perpaduan.

Mohamad dalam ucapannya berkata, PH dan BN bergabung bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan secara bersama bagi menyelesaikan isu Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Pahang yang tergantung susulan tiada parti memperoleh majoriti mudah.

Tambahnya, dalam suasana politik semasa, PH dan BN perlu membentuk kerajaan bagi mengelak keadaan menjadi huru-hara dan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.

Menurutnya, semua pihak perlu memberi tempoh lima tahun kepada Kerajaan Perpaduan menerusi gabungan PH, BN dan Gabungan Parti Sarawak untuk mentadbir di peringkat Persekutuan dan negeri.

“Tidak apalah mereka (Perikatan Nasional) jadi pembangkang, kritiklah kami, hentamlah kami, tapi beri peluang kepada kami memerintah lima tahun.

“Jangan lagi berlaku peristiwa seperti sebelum ini… saya ke Vietnam sebagai Menteri Pertahanan untuk berunding dengan Menteri-menteri Pertahanan ASEAN, bila balik ke Kuala Lumpur kerajaan hilang. Mana boleh buat kerja kalau macam ini.

“Sebab itu, biar kami memerintah lima tahun, kemudian lima tahun lagi kita lawan dalam PRU. Kalau kami menang kamu terima. Kalau kamu kalah kamu terima, sama ada kami menang atau kamu kalah tiada masalah,” kata beliau ketika menyampaikan ceramah.

Dalam pada itu, Mohamad turut meminta rakyat dan pihak pembangkang membuat teguran kepada Kerajaan Perpaduan yang sudah dibentuk bagi membina Malaysia lebih baik untuk semua kaum, agama serta menjunjung Perlembagaan Negara.