'Orang nak tidur pun tak boleh, macam-macam gangguan'

in Edisi by

Penduduk Kampung Lepau merayu pihak yang berkenaan membantu menyelesaikan masalah bunyi bising didakwa daripada RAPID Pengerang. (Gambar kecil: Mohd Nesfoo, Rosnah, Ali)Letusan gas boleh didengari setiap masa.Mohd Nesfoo menunjukkan lokasi RAPID Pengerang yang berada terlalu hampir dengan Kampung Lepau.Kedudukan RAPID Pengerang yang hampir dengan penempatan penduduk boleh dilihat dengan jelas dari Masjid Kampung Lepau.

PENGERANG – Penduduk Kampung Lepau di sini, memohon pihak berwajib untuk membantu mereka menangani beberapa masalah seperti bunyi bising termasuk pencemaran udara yang dipercayai berlaku akibat aktiviti pelepasan gas daripada Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC).

Tinjauan Sinar Harian mendapati kedudukan kompleks berkenaan dilihat terlalu hampir dengan kawasan kampung hingga bunyi letusan gas dapat didengari dengan jelas hampir setiap masa.

Menurut seorang penduduk, Mohd Nesfoo Othman, 60, bunyi letusan gas agak kuat sehingga mengganggu penduduk terutama pada waktu malam.

**media[2005684]**

“Bila dia (RAPID) ini melepaskan gas, dia punya ‘suara’ (bunyi) memang mengganggu ketenteraman penduduk kampung.

“Adakalanya bunyi letupan ini turut menyebabkan rumah bergegar sama. Masa dia lepaskan api (gas) pula terlalu besar, orang nak tidur pun tak boleh, macam-macam gangguan.

“Lagi satu, bila lepaskan gas sudah pasti ada ‘benda’ lain yang turut dilepaskan… jadi tidakkah itu mencemarkan udara di sini? Sebab itu kami berharap sangat perkara ini dapat ditengok semula,” katanya kepada Sinar Harian.

Untuk rekod, PIPC merupakan sebuah projek mega yang merangkumi kawasan seluas 80 kilometer (km) persegi yang menempatkan kilang minyak, keropok naphtha, kilang petrokimia, terminal gas asli cecair (LNG) dan kilang.

Difahamkan, kawasan yang menempatkan PIPC itu sebenarnya merupakan tapak tujuh buah kampung sebelum ia ditransformasikan sebagai kompleks bersepadu berkenaan.

**media[2005683]**

Seorang lagi penduduk, Rosnah Ismail, 39, berkata, letusan gas dari kawasan berkenaan turut mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan.

Katanya, dikhuatiri bau itu mengandungi bahan-bahan lain yang boleh mengancam kesihatan.

“Saya tinggal di sini sejak dua tahun lalu dan boleh dikatakan flare atau letusan gas dari kawasan itu memberikan kesan yang sangat tidak baik kepada penduduk.

“Tidak cukup dengan itu, rumah juga adakalanya bergegar, selain pendengaran turut terganggu kerana bunyi bising daripada letusan yang dikeluarkan.

“Harapan kami supaya satu jalan penyelesaian dapat dicapai bagi menangani masalah ini. Kami dah tak tahu ke mana lagi kami nak mengadu atau bercakap mengenai perkara ini kerana memang dah banyak kali kami suarakan kepada pihak atasan, tetapi masih belum ada apa-apa tindakan,” katanya.

Bagi Ali Mantek, 73, pula, sejak kewujudan RAPID Pengerang, kampungnya sudah tidak seperti dahulu kerana terganggu dengan bunyi bising dari tapak projek.

**media[2005685]**

Menurutnya, perkara itu seharusnya diberikan perhatian oleh pihak berwajib dalam usaha menjamin kesejahteraan penduduk di situ.

“Sejak RAPID ini ada, memang tak senang orang kampung di sini. Mula-mula buka dengan habuk, banjir, bising, macam inilah keadaannya.

“Kami ini orang kampung, seolah macam dianaktirikan. Tak ada siapa nak ambil peduli. Jadi, siapa yang nak bertanggungjawab?

“Bukan kita nak apa pun, bukan kita nak duit, tapi ambil perhatianlah sikit,” katanya.

Mengulas masalah berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin berkata, perkara tersebut sudah pun dibawa ke pengetahuan kerajaan negeri.

“Perkara ini telah kita bawa ke peringkat kerajaan negeri dan sebarang keputusan mengenainya akan diumumkan kelak,” katanya.

Sementara itu, usaha Sinar Harian menghubungi pihak RAPID Pengerang bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkara itu masih belum berhasil.