Pemilihan Speaker Dewan Rakyat pada 19 Disember ini

in Nasional by

Speaker Dewan Rakyat ketika ini adalah Tan Sri Azhar Azizan Harun.

SHAH ALAM – Pemilihan Speaker merupakan agenda utama dalam persidangan Dewan Rakyat bagi Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang akan bersidang selama dua hari bermula 19 Disember ini.

Berdasarkan notis yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin kepada ahli-ahli Parlimen pada Khamis, pemilihan Yang Dipertua itu akan diadakan pada hari pertama persidangan, sebelum diikuti dengan sesi mengangkat sumpah ahli-ahli Dewan Rakyat.

Selain itu, turut terkandung dalam urusan mesyuarat adalah pemilihan Timbalan-timbalan Yang Dipertua, disusuli usul memerintah Ketua Polis Negara memberi kemudahan lalu-lalang kepada ahli-ahli.

Usul undi percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri pula disenaraikan sebagai perkara kelapan dalam agenda mesyuarat berkenaan.

ÔÇťAdalah dimaklumkan bahawa Tuan Yang Dipertua telah memberikan persetujuannya untuk memendekkan tempoh pemberitahuan mesyuarat ini selaras dengan Peraturan Mesyuarat 9(2)(a) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Bagi urusan-urusan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen ke-15, pertanyaan-pertanyaan bagi jawapan lisan dan jawapan bertulis, pertanyaan-pertanyaan menteri serta usul tidak perlu dikemukakan,” menurut notis berkenaan.

Speaker Dewan Rakyat ketika ini adalah Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Beliau dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat Ke-10 menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof pada 13 Julai 2020 berikutan perubahan pentadbiran kerajaan Persekutuan.