Pemilihan wakil UMNO dalam kerajaan wajar ikut hierarki

in Politik by

Annuar dan hantaran beliau di Facebooknya pada Khamis.

SHAH ALAM – Pemilihan wakil UMNO dalam Kerajaan Perpaduan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar mengikut keutamaan hierarki parti.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, apa yang penting adalah Anwar perlu mempunyai pasukan bekerja yang mantap dan berwibawa.

“Debaran banyak pihak adalah tertumpu kepada pembentukan kabinet PM10 (Perdana Menteri ke-10).

“Dilaporkan juga kononnya DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menghadapi dilema kerana lobi dari banyak pihak. Itu sudah kelaziman dan saya percaya DSAI tahu cara menyelesaikannya.

“Kabinet mesti berupa gabungan yang mampu menggalas tugas yang mencabar selepas ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Dilaporkan, pengumuman senarai kabinet yang dikatakan diadakan pada Khamis ditangguhkan disebabkan Anwar dipercayai memerlukan lebih masa sebelum memuktamadkan anggota Jemaah Menteri.

Anwar dilihat berdepan cabaran termasuk mempertimbangkan nama-nama dikemukakan oleh parti-parti yang menyokongnya sebagai Perdana Menteri dalam Kerajaan Perpaduan.

Dalam pada itu, Annuar yang merupakan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia turut menegaskan bahawa keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang telah membuat keputusan menyertai Kerajaan Perpaduan seharusnya wajar dihormati.

“UMNO melalui keputusan MKT telah membuat keputusan tuntas menyertai Kerajaan Perpaduan ini. Ia keputusan parti yang wajar dihormati, bukan sahaja oleh ahlinya tetapi juga oleh DSAI yang mengetuai Kerajaan Perpaduan.

“UMNO tidak harus dipandang enteng. UMNO juga tidak harus diterima separuh-separuh. Umpama semangkuk gulai, jangan kuah diambil tapi isi nak dibuang,” kiasnya.