Perak kekal keputusan tidak jual air kepada Pulau Pinang

in Edisi by

Saarani. Foto: Pejabat MB Perak

IPOH – Kerajaan Perak kekal dengan keputusan untuk tidak menjual air mentah kepada Pulau Pinang biarpun wujud kerjasama di antara BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam pentadbiran negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya kekal dengan pendirian sebelum ini untuk memastikan keperluan domestik diutamakan berbanding membekalkan air ke negeri lain.

Menurutnya, perbezaan parti yang mentadbir negeri bukan alasan untuk Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) sebelum ini tidak dilaksanakan.

“Ia bukan sama ada kerajaan BN atau kerajaan PH, tetapi ia berkaitan sama ada air di Perak ini mencukupi untuk kegunaan dalam negeri atau tidak.

“Ini kerana mana-mana kerajaan pun, masalah kita ialah kapasiti air Sungai Perak itu hanya cukup untuk kegunaan domestik.

“Apatah lagi di Perak, kita akan bangunkan sebagai sebuah negeri perindustrian yang akan memerlukan air yang banyak seperti industri sarung tangan getah,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat dan mengadakan lawatan ke Asrama Murni Persiaran Jelapang di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng seperti dilaporkan portal berita untuk kerajaan Pulau Pinang meneruskan rundingan pelaksanaan SPRWTS dengan kerajaan Perak yang tertangguh sejak 11 tahun lalu.

Pada Mac lalu, Saarani menjelaskan kerajaan Perak mempunyai sebab-sebab yang kukuh untuk tidak membekalkan air mentah Sungai Perak kepada Pulau Pinang.

Ketetapan itu dibuat berasaskan kepada laporan dan ulasan empat agensi penting iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB), Lembaga Air Perak (LAP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Perak (UPEN).