Phahrolrazi bersama lebih 200 ahli Amanah umum keluar parti

in Politik by

PhahrolraziPhahrolrazi (tengah) pada sidang akhbar bersama sebahagian daripada 200 ahli Amanah Kedah yang mengumumkan keluar parti pada Khamis.

ALOR SETAR – Bekas Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi mengumumkan akan menyertai mana-mana parti yang bernaung bawah Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, tindakan itu diambil kerana tidak mahu menyertai parti lawan selepas dipecat oleh Amanah Pusat kerana didapati melanggar perlembagaan parti berhubung penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu itu berkata, perbincangan dengan kepimpinan Pusat parti baharu berkenaan telah dibuat dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Saya ingin maklumkan, lebih 200 pimpinan, Ahli Jawatankuasa (AJK) dan ahli Amanah Kedah termasuk beberapa kawasan serta aktivis NGO, Pasma yang saya asaskan turut umumkan keluar parti dan akan bersama saya menyertai parti tersebut,” katanya dalam sidang akhbar bersama sebahagian 200 ahli yang bertindak keluar parti di kediamannya di sini pada Khamis.

**media[2007336]**

Phahrolrazi berkata, kesemua ahli yang mengambil keputusan tersebut adalah kumpulan yang terawal menubuhkan Amanah di negeri ini.

“Ini termasuk Speaker dan Timbalan Speaker Amanah Kedah dan ketua-ketua kawasan Kuala Kedah, Merbok, Jerlun dan Pendang berkuat kuasa 1 Disember.

“Kesan daripada pemecatan keahlian saya sebagai Pengerusi Amanah Kedah, kumpulan berkenaan menulis surat kepada Amanah Nasional ditandatangani 12 ketua-ketua kawasan meminta pemecatan itu ditarik balik. Surat itu dihantar sebelum hari mengundi PRU15 kepada Setiausaha Agung parti,” katanya lagi.

Menurutnya, surat rayuan tidak dihantar selepas pemecatan kerana sekiranya diterima, beliau hanya akan kembali dalam parti sebagai ahli biasa.

“Sebab itu saya tidak merayu, ketua-ketua kawasan menulis surat meminta ditarik semula pemecatan namun hingga kini tiada jawapan daripada Amanah Nasional.

”Saya akan berbincang dengan rakan-rakan yang meninggalkan parti sebelum pilih parti mana dalam PH. Kumpulan kami masih dalam lingkungan PH dan tidak akan keluar daripada gabungan ini, atau tubuhkan parti baharu,” katanya.

Menurutnya, parti mana yang akan menjadi pilihan hanya akan diumumkan selepas mencapai konsensus bersama dan setelah rundingan bersama pimpinan Pusat parti berkenaan mencapai persetujuan.

“Kami akan sertai parti baharu secara berkumpulan sebab itu perlu ada rundingan untuk memposisikan kumpulan ini supaya parti yang menerima kami mempunyai matlamat sama iaitu memperkukuhkan PH.

“Kalau sertai dan menjadi ahli biasa, saya fikir tidak ada apa-apa makna. Sebab kumpulan ini kalangan pimpinan dan aktivis berpengalaman. Jadi perlu ada rundingan untuk bantu PH menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi,” katanya.

Phahrolrazi yakin kumpulan itu akan diterima sama ada oleh PKR mahupun DAP kerana rundingan yang dibuat setakat ini positif.

“Saya telah adakan rundingan dengan beberapa parti, sebelum itu kami hendaklah bebas daripada menjadi ahli mana-mana parti. Rugilah kalau ada pihak tak nak terima kami.

“Setakat ini rundingan dibuat di peringkat Pusat dan negeri sebab kelulusan permohonan akan diputuskan oleh pemimpin pusat. Saya juga akan berjumpa dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan secara tak rasmi sudah ada maklum balas positif,” ujarnya.

Menurutnya, perkara itu dijangka dimuktamadkan dalam sebulan dua lagi bagi membolehkan PH bersiap sedia berdepan PRN di Kedah.