Ringgit terus meningkat berbanding dolar AS pada pembukaan

in Bisnes by

RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini selepas mata wang Amerika Syarikat (AS) itu merosot berikutan sentimen bank pusat AS yang kurang menyokong kadar faedah tinggi, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, unit tempatan meningkat kepada 4.4040/4150 berbanding dolar AS daripada 4.4420/4500 semasa ditutup semalam.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit naik mendadak, mengurangkan bukan sahaja risiko politik tetapi turut didorong oleh kenyataan daripada Pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell mengenai langkah untuk memperlahankan kadar kenaikan kadar faedah mulai bulan ini.

Innes berkata jangkaan pelan China untuk pembukaan semula akan turut memberi rangsangan kepada imbangan perdagangan Malaysia, yang dijangka menyokong mata wang tempatan dalam tempoh terdekat.

“Oleh itu, dijangka lebih banyak langkah susulan berikutan pengeksport terus mengurangkan pegangan AS semasa,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata data pekerjaan daripada ADP Research Institute bagi November yang lebih rendah daripada jangkaan terus mempengaruhi dolar AS menjelang pengumuman laporan senarai gaji bukan ladang (NFP) AS.

“Daripada angka ADP (127,000 kedudukan ditambah berbanding unjuran 200,000), pasaran membayangkan bahawa data NFP yang akan dikeluarkan pada Jumaat juga dijangka berada di bawah anggaran, yang cenderung menjadi negatif kepada dolar AS,” katanya.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2447/2533 daripada 3.2487/2551 pada Rabu, meningkat berbanding pound kepada 5.3275/3408 daripada 5.3366/3467 semalam dan mengukuh berbanding euro kepada 4.5960/6075 daripada 4.6010/6098 sebelum ini.

Bagaimanapun, ia merosot berbanding yen Jepun kepada 3.2200/2285 daripada 3.2007/2067 semalam. – Bernama