RM113 juta selenggara sungai, saliran di Johor

in Edisi Johor by

Onn Hafiz membentangkan Belanjawan Johor 2023 di Kota Iskandar pada Khamis.

ISKANDAR PUTERI – Sebanyak RM113 juta diperuntukkan bagi penyelenggaraan sungai dan saliran di Johor seterusnya dapat mengurangkan risiko banjir di negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peruntukan itu akan disalurkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, berdasarkan semakan data terkini daripada JPS, terdapat 432 hotspot banjir yang telah dikenal pasti di seluruh negeri ini.

“Sehubungan itu, sebanyak RM71 juta peruntukan melalui JPS serta PBT disediakan bagi tujuan pengurusan banjir dan saliran yang meliputi kerja-kerja penggalian dan mendalamkan sungai, membina rumah pam air, pembersihan kolam takungan banjir dan sistem amaran awalan banjir.

“Seterusnya, sebanyak RM42 juta diperuntukkan kepada JPS bagi kerja-kerja penyelenggaraan parit dan saliran.

“Di samping itu, RM700,000 akan diperuntukkan bagi membeli pam bergerak untuk memudahkan operasi mengepam air banjir terutama di beberapa kawasan rendah yang sering dilanda banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Belanjawan Johor 2023 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini, pada Khamis.

Menurut Onn Hafiz yang juga ADUN Machap, tumpuan turut diberikan kepada program pemuliharaan sungai supaya dalam keadaan bersih.

“Sebanyak RM1.8 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja pemuliharaan Sungai Skudai dan Sungai Tebrau, projek Denai Sungai dan pelaksanaan Program 1 Daerah 1 Sungai.

“Pada tahun 2019, Sungai Kim Kim telah mengalami pencemaran yang kritikal. Justeru, peruntukan sebanyak RM300,000 disediakan bagi meneruskan usaha-usaha pemuliharaan Sungai Kim-Kim agar ia terus lestari dan mengelakkan insiden pencemaran ini berulang kembali,” katanya.