Selangor, Perak masih terjejas banjir: Nadma

in Nasional by

Gambar hiasan

SHAH ALAM – Selangor dan Perak masih terjejas akibat banjir setakat jam 4 petang Khamis.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai 501 mangsa daripada 144 keluarga direkodkan berada di lima pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurut kenyataan itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sehingga jam 4 petang ini pula melaporkan terdapat bacaan enam sungai berada di tahap amaran.

“Sungai yang terlibat adalah Sungai Bernam di Kampung Sungai Selisek, Hulu Selangor; Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat; Long Teru, Miri; Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat; Sungai Muar di Pekan Rompin, Jempol dan Sungai Bidor di Changkat Jong, Hilir Perak,” kata kenyataan itu pada Khamis.

Tambah kenyataan itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan ramalan cuaca signifikan bagi tempoh 2 hingga 8 Disember 2022.

Berdasarkan analisis model-model cuaca, angin timuran kencang dijangka bertumpu di pantai timur dan utara Semenanjung sehingga 4 Disember 2022 dan berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan di kawasan terbabit.

“Pada masa yang sama, satu sistem cuaca tekanan rendah dijangka terbentuk di perairan Laut China Selatan pada 2 Disember 2022 dan diramal bergerak ke barat menghampiri pantai timur Semenanjung.

“Keadaan ini boleh meningkatkan intensiti hujan di kawasan berkenaan,” kata kenyataan itu.