Tomislav Steinbruckner ganti Nafuzi

in Sukan by

Tomislav Steinbruckner

PENGENDALI dari Croatia, Tomislav Steinbruckner dilantik sebagai ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) bagi musim 2023.

TFC dalam satu kenyataan berkata, jurulatih berusia 56 tahun itu juga telah bersama pasukan TFC sebagai ketua pengarah teknikal kelab bermula tahun ini.

“Beliau akan memegang tanggungjawab utama untuk membentuk pasukan Terengganu FC bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2023 dan juga saingan Piala AFC 2023.

“Tomislav telah menandatangani kontrak sebagai Ketua Jurulatih Terengganu FC untuk tempoh satu tahun iaitu bermula 1 Disember sehingga 31 Disember 2023,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menjelaskan Steinbruckner sedia mengambil tanggungjawab mengendalikan pasukan biarpun menyedari cabaran tinggi bakal digalasnya.

“Semestinya cabaran untuk mengendalikan pasukan Terengganu FC adalah besar kerana pasukan ini mengakhiri saingan Liga Malaysia dengan rekod yang baik dan semestinya pihak pengurusan kelab serta para penyokong ingin melihatkan rekod yang lebih cemerlang dapat dicapai bagi saingan musim 2023.

“Namun beliau mengambil tanggungjawab ini dan bersedia untuk memberikan khidmat terbaik untuk kelab ini.

“Semoga Tomislav berjaya membawa kejuaraan buat Terengganu FC bagi musim 2023,” katanya.

Pasukan TFC sebelum ini dibimbing oleh Mohd Nafuzi Zain sejak 2020 dan beliau menolak lanjutan kontrak bersama pasukan gergasi pantai timur itu.