Agong kurnia bot, serah sumbangan untuk asnaf

in Nasional by

Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan sumbangan bot kepada salah seorang penerima pada majlis majlis pengurniaan bot dan sumbangan kepada asnaf selepas solat Jumaat di Masjid Sultan Ahmad Shah di Pekan.Al-Sultan Abdullah melihat bot yang disumbangkan pada majlis majlis pengurniaan bot dan sumbangan kepada asnaf selepas solat Jumaat di Masjid Sultan Ahmad Shah di sini.

PEKAN – Yang di-Pertuan Agong, Al -Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah berangkat ke majlis pengurniaan bot dan sumbangan kepada asnaf selepas solat Jumaat di Masjid Sultan Ahmad Shah di sini.

Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda mengurniakan bot bersama enjin kepada lima penerima dalam kalangan penduduk yang tinggal di kawasan sering terjejas banjir sekitar daerah ini.

Selain itu, Seri Paduka Baginda juga mengurniakan sumbangan kepada 150 asnaf.

Berangkat mengiringi Seri Paduka Baginda, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Sementara itu, penerima sumbangan bot, Ahmad Ghairah Abdul Rahman, 54, dari Kampung Kiambang di sini sangat bersyukur atas sumbangan bot kurniaan Yang di-Pertuan Agong itu.

Menurutnya, dia hanya mengetahui terpilih sebagai penerima selepas diberitahu adiknya pada Khamis, sehari sebelum majlis penyerahan.

“Terkejut juga selepas diberitahu sumbangan ini daripada Tuanku Yang di-Pertuan Agong sendiri.

“Allhamdulillah, sumbangan ini sangat membantu dan dapat digunakan untuk menghadapi kemungkinan banjir kali ini,” katanya.

Ahmad Ghairah berkata, rumahnya sering dinaiki air setiap kali banjir berlaku.

“Situasi dilalui bertambah sukar apabila kami sekeluarga juga sering terputus hubungan kerana tidak memiliki bot sendiri.

“Insya-ALLAH,selain untuk kegunaan sendiri, bot ini juga akan digunakan untuk membantu mangsa banjir lain dalam kalangan penduduk kampung seperti yang disarankan Tuanku,”ujarnya.

**media[2007775]**

Bagi Mohamad Fahamy Mohamad Sarif, 49 dari Kampung Pelak di sini berkata, memiliki bot sendiri menjadi hasratnya sejak dahulu ekoran rumahnya sentiasa dinaiki air setiap kali banjir berlaku.

Menurutnya, bot sudah menjadi satu keperluan bagi mangsa banjir sepertinya untuk menghadapi banjir setiap tahun.

“Sebelum ini kami sekeluarga hanya bergantung kepada pihak berkuasa untuk membantu memindahkan keluarga ke pusat pemindahan.

“Kadang-kadang bantuan agak lambat kerana keupayaan pasukan penyelamat juga terbatas bila situasi banjir agak teruk.

“Bila ada bot sendiri, ia akan memudahkan keluarga saya sendiri selain dapat membantu mangsa banjir yang lain juga,” katanya.