Australia tekad benam Argentina

in Sukan by

Australia tekad melakar kejutan ke atas Argentina pada aksi kalah mati Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Ahmad Ali pada Ahad. Foto EPA

KEJAYAAN mara ke pusingan 16 pasukan terbaik saingan Piala Dunia Qatar 2022 dianggap sebagai satu penghormatan terbesar buat pemain Australia.

Justeru mereka tidak dapat menyembunyikan rasa teruja terhadap bintang sensasi Argentina, Lionel Messi yang akan menjadi lawan Socceroos dalam saingan kalah mati di Stadium Ahmad Ali pada Ahad.

Namun, para pemain menyimpan impian besar untuk melakar kejutan ke atas kuasa besar dari Amerika Selatan itu.

“Saya sentiasa menyukai Messi dan fikir dia yang terhebat apabila dapat bermain sekali.

“Namun, ia bukan satu penghormatan dapat bermain dengannya kerana dia juga manusia, seperti mana kita semua.

“Sama ada bertemu Argentina atau Poland, ia masih menjadi satu penghormatan untuk mewakili Australia dalam pusingan 16 terbaik Piala Dunia,” ujar pemain pertahanan, Milos Degenek.

Australia mengejutkan Denmark dengan kemenangan 1-0 pada Rabu untuk meraih slot ke pusingan kalah mati mengiringi juara Kumpulan D, Perancis dan ia adalah sejarah buat mereka sejak kali terakhir pada 2006.

Skuad Socceroos memandang tugas itu sebagai paling sukar apatah lagi mereka bakal bertemu Argentina yang berada dalam prestasi terbaik.

Dalam pada itu, Mathew Leckie yang meledak gol tunggal ketika membantu Socceroos menewaskan Denmark, menjadi pemain Victoria pertama meledak gol di Piala Dunia.

“Tiada siapa jangka kami berada di sini. Kami akan memberikan segala-galanya dan tidak ada sebarang tekanan.

“Kami hanya perlu menikmati detik itu. Tiada siapa jangkakan yang kami akan menang. Jadi mari kita membuat kejutan,” katanya.