Beberapa kawasan di Pasir Mas dijangka banjir esok

in Edisi Kelantan by

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjangka beberapa kawasan di Daerah Pasir Mas Kelantan akan dilanda banjir esok, sekiranya Lembangan Sungai Golok terus menerima hujan yang signifikan.

Dalam kenyataan di sini pada Jumaat, JPS berkata, ia berdasarkan makluman ramalan hujan berterusan tahap waspada yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan hasil simulasi model ramalan banjir.

Menurutnya Kampung Kubang Pak Hitam, Kampung Tersang, Kampung Tok Deh dan kawasan sekitarnya berisiko dilanda banjir mulai jam 12 tengah malam ini, manakala di Lubok Gong, Sungai Golok di Rantau Panjang dan kawasan sekitarnya mulai jam 3 pagi.

Di Jeti Danau Tok Uban dan kawasan sekitarnya pula, banjir berisiko melanda mulai jam 5 pagi, manakala di Kampung Bendang Guchil, Kampung Pengkalan Telok, Kampung Gual Pariok dan kawasan sekitarnya mulai jam 8 pagi.

“Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan. Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut. – Bernama