Bryan teruja kembali sarung jersi Perak FC

in Sukan by

Bryan pernah menyarung jersi Perak ketika mewakili negeri itu beraksi dalam saingan Piala Presiden pada 2013. – Foto Facebook MFL

IBARAT sirih pulang ke gagang, penjaga gol yang semakin meningkat naik, Bryan See Tian Keat, teruja apabila kembali menyarung jersi Perak FC di pentas Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Bryan berkata, Perak sentiasa berada di hatinya selepas memulakan karier bersama pasukan Piala Presiden negeri itu sembilan tahun lalu iaitu pada musim 2013.

Justeru, dia berharap musim 2023 akan menjadi detik istimewa dalam kariernya bagi membantu Perak kembali menyinar di pentas saingan domestik.

“Berasa bangga dan gembira kerana berpeluang sekali lagi mewakili Perak dalam karier saya sebagai pemain bola sepak.

Perak mempunyai banyak makna buat saya kerana mereka telah melamar saya 10 tahun lalu untuk bermain di Piala Presiden. Saya telah menemui ramai kenalan di sini.

“Perak adalah pasukan negeri pertama yang saya wakili dan harap yang terakhir dalam karier,” katanya.

Pemain berusia 29 tahun itu mempunyai pengalaman luas beraksi dengan beberapa kelab di Liga-M seperti Melaka United FC, PDRM FC, Penang FC dan PKNP FC.

Dia pernah bermain di Thailand bersama kelab Thai League 3, Bangkok FC pada musim 2019.

Dalam pada itu, Bryan percaya Perak mampu menghadirkan cabaran kepada pasukan lain di Liga Super di bawah kendalian Lim Teong Kim.

Menerusi gabungan pemain senior dan muda, beliau menjangkakan The Bos Gaurus boleh meraih sesuatu untuk dipersembahkan kepada peminat-peminat.

“Saya rasa kami boleh bersaing dalam Liga Super dan jika mampu menamatkan cabaran dalam kelompok atasan. Ia sesuatu yang sangat membanggakan.

“Teong Kim berjaya mengumpulkan ramai pemain muda berbakat yang ada keinginan tinggi untuk berjaya.

“Saya sangat yakin jurulatih mampu mendapatkan yang terbaik dalam kalangan pemain-pemain muda tersebut pada musim ini.

“Mungkin ramai persoalkan pengalaman Teong Kim yang tidak pernah mengendalikan pasukan senior sebelum ini tetapi daripada perbualan awal, saya lihat dia ada kemampuan untuk menaikkan semula nama Perak di landasan sebenar.

“Beliau telah meletakkan satu aras yang tinggi kepada semua pemain senior dan kami tahu yang perlu menjadi contoh kepada pemain-pemain muda dalam menunjukkan sikap yang positif dalam pasukan,” katanya.