'Cabaran besar menanti saya' – Mohamed Khaled

in Nasional by

Mohamed Khaled Nordin

JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menganggap tanggungjawab dan cabaran besar sedang menantinya selepas dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

Beliau yang kembali menerajui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.

“Sudah tentu ini merupakan cabaran besar kepada saya bagi memastikan KPT kembali berfungsi sepenuhnya dalam mendepani cabaran era baharu yang pelbagai, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas kepercayaan melantik saya sebagai Menteri Pengajian Tinggi dalam kabinet Kerajaan Perpaduan Malaysia ini.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada kepimpinan tertinggi parti kerana telah memberikan penghormatan kepada saya untuk mewakili Barisan Nasional (BN) dalam kabinet Kerajaan Perpaduan Malaysia ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat di Parlimen Kota Tinggi dan negeri ini khususnya, serta berjanji akan mengotakan janji semasa berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Terima kasih kepada anda semua yang telah memberi kepercayaan dan kemenangan kepada saya pada PRU15 baru-baru ini. Ikrar saya untuk memastikan Kota Tinggi akan lebih kehadapan dengan segala potensi yang dimiliki.

“Ini termasuk mengusahakan segala peluang baharu yang akan menjadikan Kota Tinggi lebih maju dan sejahtera,” ujar bekas Menteri Besar Johor itu.

Mohamed Khaled sebelum ini pernah dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi dari 2008 sehingga 2013.