Detik membanggakan buat bola sepak Asia

in Sukan by

Hajime Moriyasu – Foto EPA

PENGENDALI Jepun, Hajime Moriyasu berkata, kemenangan Samurai Biru 2-1 ke atas Sepanyol diharapkan menjadi detik membanggakan kepada arena bola sepak Asia.

Kemenangan itu diperoleh hasil jaringan Ritsu Doan dan Ano Takana pada permulaan separuh masa kedua menyaksikan Jepun layak ke pusingan 16 selaku juara Kumpulan E Piala Dunia Qatar 2022 dan dijadual menentang Croatia selepas ini.

Jepun berjaya membuktikan kehebatannya dengan menewaskan Sepanyol dan Jerman dalam peringkat kumpulan pada Qatar 2022.

“…kemenangan kami ke atas Sepanyol dan Jerman iaitu dua daripada pasukan gergasi dunia menyuntik keyakinan yang tinggi kepada kami.

“Banyak perkara yang boleh kita pelajari dan Asia juga boleh menang di peringkat dunia…Jepun boleh menang di peringkat dunia. Saya fikir semua orang di Asia akan berkongsi detik kegembiraan kita,” katanya.

Beliau turut mengulas mengenai perlawanan separuh masa dan berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan anak buahnya.

“Dua pertukaran (Doan dan Kaoru Mitoma) dibuat selepas masa rehat. Kami lebih tumpukan kepada serangan.

“Kami bertahan pada separuh masa pertama dan pada separuh masa kedua, kami dapat memanfaatkan usaha itu,” katanya.