Fadillah Yusof terajui Kementerian Perladangan dan Komuniti

in Nasional by

Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Fadillah Yusof yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.

Beliau menggantikan Datuk Zuraida Kamaruddin yang telah berkhidmat di kementerian itu sejak Ogos 2021 di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Whip GPS itu turut dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam barisan kabinet baharu yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya malam Jumaat.

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu merupakan Ahli Parlimen Petra Jaya sejak 2004.

Fadillah pernah memegang portfolio sebagai Menteri Kerja Raya, Menteri Kanan Kerja Raya dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Pengumuman barisan Kabinet pada kira-kira 8.20 malam itu disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen serta platform media sosial dan turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Terdahulu, Anwar berkata, barisan kabinet baharu itu akan dipanggil ke mesyuarat khas pada Isnin ini untuk penetapan peraturan-peraturan baharu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November 2022 dan memimpin kerajaan perpaduan yang dianggotai PH yang mempunyai 82 kerusi, diikuti Barisan Nasional (30), GPS (23), dan Gabungan Rakyat Sabah (enam) serta parti-parti lain. – Bernama