Hospital Sultanah Hajjah Kalsom lakar sejarah

in Edisi Pahang by

Hospital Sultanah Hajah Kalsom. – Foto Sumber internet

CAMERON HIGHLANDS – Hospital Sultanah Hajah Kalsom di sini telah melakar sejarah dengan memulakan perkhidmatan kes berisiko rendah melalui pengaktifan unit bius di bawah seliaan pakar bius dari Hospital Kuala Lipis bermula 1 Disember 2022 dengan tiga pembedahan sebagai permulaan.

Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus memberitahu, dua kes pembedahan mengeluarkan plat besi dari tulang melibatkan lelaki berumur 16 dan 18 tahun manakala satu lagi kes terdiri wanita berumur 22 tahun yang menjalani pembedahan pembersihan tisu-tisu mati di permukaan tulang selepas mengalami patah.

Menurutnya, proses pengoperasian berjalan dengan lancar serta selamat dan perkhidmatan sebegini adalah yang pertama di negeri Pahang di bawah inisiatif Global Surgery Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Inisiatif ini bertujuan untuk memberi perkhidmatan kepakaran pembedahan melibatkan pembiusan am yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat di Pahang Barat khususnya penduduk Cameron Highlands.

“Atas sokongan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia dan Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang ingin memaklumkan bahawa pembedahan secara elektif kes pembiusan am di Dewan Bedah, Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Cameron Highlands telah beroperasi secara rasminya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujar beliau, pengoperasian itu telah dimulakan pada 1 Disember 2022 dengan bantuan kepakaran dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dan Hospital Kuala Lipis.

“Setakat ini, perkhidmatan pembedahan yang beroperasi di hospital ini adalah melibatkan kepakaran pembedahan am, ortopedik, ginekologi dan berpotensi untuk ditambah baik pada masa hadapan.

“Jabatan Kesihatan Negeri Pahang komited untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat di negeri ini,” tambah beliau.

Sementara itu, Nor Azimi turut berharap dengan adanya perkhidmatan terbabit, masyarakat sekitar Pahang Barat terutama Cameron Highlands mendapat pilihan bagi menjalani prosedur pembedahan untuk kes berisiko rendah di hospital tersebut.