Jalan Bukit Berlian 5, Lobak diisytihar kawasan bencana

in Edisi by

Jalan Bukit Berlian 5 diisytiharkan kawasan bencana susulan berlaku pergerakan tanah yang berisiko tinggi menyebabkan runtuhan lebih besar. (Gambar dalam : Dua penunggang motosikal maut)

SEREMBAN – Runtuhan cerun di Jalan Bukit Berlian 5, Taman Bukit Berlian, Lobak di sini diisytiharkan sebagai kawasan bencana susulan berlaku pergerakan tanah yang berisiko tinggi menyebabkan runtuhan lebih besar.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sembilan, Datuk Razali Ab Malik berkata, runtuhan cerun tersebut berpunca daripada aliran air luar biasa menyebabkan tanah menjadi lembut, seterusnya berlaku pergerakan.

“Terdapat 12 buah rumah di Jalan Berlian 5, dengan jumlah isi keluarga seramai 47 orang. Bagaimanapun tiada sebarang kehilangan nyawa dilaporkan akibat kejadian tanah runtuh tersebut.

“Sebanyak tiga buah kereta jatuh ke kaki cerun akibat runtuhan dan telah berjaya ditarik keluar menggunakan kren.

“Berdasarkan penilaian awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), rumah di kawasan berkenaan adalah berisiko dan tidak selamat untuk diduduki,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, oleh itu, semua penduduk terlibat bersetuju untuk keluar dari kediaman masing-masing sehingga siasatan lengkap dijalankan dan kerja-kerja baik pulih cerun selesai dilaksanakan bagi mengelakkan berlaku kemalangan jiwa.

“Perpindahan keluar penduduk selesai jam 6 petang pada Khamis. Sebarang pergerakan keluar masuk tanpa autoriti adalah di bawah risiko masing-masing dan pihak berwajib tidak bertanggungjawab ke atas sebarang insiden yang berlaku,” katanya.

Jelas beliau, hujan lebat pada sebelah petang dan pemantauan di tempat kejadian pada jam 8 malam Khamis mendapati, tanah semakin mendap dan rekahan telah menjadi lebih besar.

“Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Seremban telah diaktifkan dan boleh dihubungi di talian 06-6011038.

“Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) beroperasi di lokasi dan kawalan di tempat kejadian akan diuruskan mengikut mekanisme pengurusan bencana negara,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, tiga buah kereta menggelongsor dan terjatuh ke dalam cerun sedalam kira-kira 10 meter dalam kejadian tanah mendap dan runtuh di Taman Bukit Berlian di sini awal pagi Khamis.