Jepun laung amaran

in Sukan by

Moriyasu

SELEPAS berjaya melangkah ke pusingan 16 terbaik, Jepun melaungkan amaran mahu mencipta sejarah layak ke peringkat suku akhir Piala Dunia 2022.

Pengendali Jepun, Hajime Moriyasu berkata, pemain menunjukkan kemampuan luar biasa dan impak positif untuk bersaing dengan pasukan gergasi dunia.

“Daripada segi penamat, sasaran baharu kami ialah lapan terakhir. Pemain menunjukkan perbezaan dan sisi baharu ketika bersaing di peringkat dunia.

“Saya mahu menetapkan rekod baharu dalam kalangan lapan terakhir atau lebih baik,” katanya.

Jepun mencipta sensasi dalam aksi terakhir kumpulan E selepas membenam gergasi Eropah, Sepanyol 2-1 pada Jumaat.

Kemenangan itu sekali gus meletakkan skuad Samurai Biru itu di kedudukan teratas Kumpulan E dan dijadualkan menentang Croatia di pusingan 16 terbaik.

Ini adalah kali keempat Jepun mara ke pusingan 16 terbaik tetapi mereka belum pernah mara melebihi peringkat itu.

Dalam pada itu, Moriyasu percaya sokongan penyokong menjadi azimat berguna buat Jepun dalam mengharungi kempen Piala Dunia ini.

“Terima kasih kepada semua penyokong kami iaitu rakyat Jepun atas sokongan mereka sehingga kami mampu mengharungi perlawanan sukar ini.

“Saya gembira dapat membawa kemenangan ini kepada semua orang dan menghasilkan keputusan yang menggembirakan,” katanya.