Kabinet baharu, harapan baharu

in Nasional by

PENANTIAN seluruh rakyat Malaysia untuk mengetahui barisan Jemaah Menteri yang akan menganggotai Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal berakhir dalam masa terdekat ini.

Ia susulan pengumuman Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu bahawa beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada jam 8 pagi ini.

Pengumuman yang dibuat Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dalam Majlis Ramah Mesra Reformis di Sungai Long, Kajang pada malam tadi memberi isyarat bahawa senarai barisan kabinet kini telah lengkap.

Ketika berucap di hadapan penyokongnya, Anwar mengesahkan pembentukan kabinet Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya dijangka selesai dalam masa dua atau tiga hari lagi.

Selepas itu katanya, pengumuman mengenainya akan dibuat setelah mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ujarnya, secara keseluruhan senarai bakal barisan jemaah menteri di bawah pentadbirannya hampir sepenuhnya dan hanya memerlukan sedikit penelitian lanjut.

Pembentukan barisan kabinet Kerajaan Perpaduan yang diterajui Anwar terus menjadi tanda tanya ketika ini susulan tiada tarikh tepat dimaklumkan bila pengumuman mengenainya akan dibuat.

Kerajaan Perpaduan yang dibentuk kini disertai tiga gabungan utama iaitu PH, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Anwar ketika sidang media pertamanya selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu memaklumkan bahawa Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya akan memiliki saiz kabinet yang lebih kecil.

Beliau turut dilaporkan berkata, akan mengusulkan supaya gaji menteri dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan nanti dikurangkan susulan perkembangan situasi ekonomi kini.

Pastinya, tumpuan rakyat terarah kepada pengumuman yang akan dibuat Perdana Menteri untuk melihat siapakah yang akan dipilih berada dalam barisan kabinetnya.

Siapa pun yang akan dilantik, diharapkan mampu menjalankan tanggungjawab sebaiknya untuk terus membawa kesejahteraan kepada negara.

Kabinet baharu yang bakal dibentuk nanti juga menjadi harapan baharu kepada seluruh rakyat Malaysia.