'Kecil-kecil sudah pandai hisap ganja'

in Global by

Kanak-kanak dilihat sedang menghisap ganja di Pantai Pattaya, Thailand. – Agensi

BANGKOK – Gelagat kanak-kanak berusia sembilan dan 10 tahun menghisap ganja dari ‘bong’ diperbuat daripada buluh di Pantai Pattaya, Thailand menjadi tular di media sosial sehingga mencetuskan kebimbangan natizen mengenai masa depan mereka, lapor Thaiger.

Gambar diambil Krittiwat Matrong, 35, berkata, dia terserempak dengan kanak-kanak tersebut ketika dalam perjalanan menonton persembahan bunga api di Pattaya.

Katanya, ketika bersiap untuk menaiki bot, dia ternampak dua kanak-kanak sedang duduk di tepi pantai dan mengisap ‘sesuatu’ dari ‘bong’ tersebut.

Pada awalnya, Krittiwat menyangkakan mereka hanya bermain-main, namun apabila dia mendekati mereka, barulah menyedari kanak-kanak itu sedang menghisap ganja.

Dia mendekati mereka dan mengetahui kanak-kanak itu baru berusia sembilan dan 10 tahun dan tidak mempunyai ibu-bapa.

Walaubagaimanapun, apabila Krittiwat memberi amaran mengenai bahaya menghisap ganja, mereka menjawab ‘ Saya tidak takut awak. Ayah saya seorang tentera’.

Selepas gambar tersebut menjadi tular, natizen menyuarakan kebimbangan mengenai nasib kanak-kanak itu dan mengecam ibu bapa mereka yang membiarkan anak pergi ke Pantai Pattaya tanpa pengawasan orang dewasa.

Thailand menyahsenarai ganja sebagai bahan terlarang pada Jun lalu dan membolehkan orang ramai menggunakan khasiat perubatan yang diperoleh daripada tumbuhan tersebut. – Agensi