Maghribi cemerlang tempah tiket ke pusingan kalah mati

in Sukan by

En-Nesyri (kanan) meraikan jaringannya ketika menentang Kanada.

MAGHRIBI berjaya melangkah ke peringkat 16 pasukan terbaik selepas menewaskan Kanada 2-1 dalam aksi terakhir kumpulan F Piala Dunia 2022 pada Khamis.

Hakim Ziyech meletakkan Maghribi di hadapan pada minit keempat sebelum Youssef En-Nesyri menggandakan jaringan pada minit ke-23.

Gol jaringan sendiri pertahanan Maghribi, Nayef Aguerd pada minit ke-40 umpama memberikan sinar kepada Kanada, namun tiada jaringan tambahan tercipta untuk memastikan kedudukan kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan itu menyaksikan Maghribi mengungguli kedudukan teratas kumpulan F sekali gus menamatkan kemarau 36 tahun untuk mara ke peringkat 16 pasukan terbaik selepas kali terakhir melakukannya pada 1986.