Majlis angkat sumpah Senator dijadualkan pada pagi Sabtu

in Nasional by

Rais Yatim

SHAH ALAM – Majlis mengangkat sumpah Senator Dewan Negara dijadualkan berlangsung di Parlimen pada Sabtu.

Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim mengesahkan bahawa majlis berkenaan akan berlangsung pada jam 8.30 pagi.

“Senarai embargo pagi esok (Sabtu). Majlis jam 8.30 pagi,” katanya memetik laporan Astro Awani pada Jumaat.

Sementara itu, sumber Parlimen pula memberitahu, pegawai Dewan Negara telah diminta untuk melakukan persediaan bagi upacara berkenaan sejak awal pagi Jumaat.

Bagaimanapun, majlis angkat sumpah berkenaan hanya akan diadakan sebaik pengesahan sekiranya terdapat senator yang dilantik sebagai menteri kabinet selepas pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada jam 8.15 malam Jumaat.

“Sebab jangkaan kalau ada senator, tetapi kami diminta bersiap sedia sahaja. Angkat sumpah Senator dulu (jika ada) dan selepas itu, barulah boleh angkat sumpah sebagai menteri kabinet.

“Kalau ada senator diumumkan sebagai menteri kabinet, individu itu memerlukan mengangkat sumpah pagi esok (Sabtu).

“Kami menerima arahan daripada pejabat Setiausaha Dewan Negara untuk bersiap sedia kerana majlis angkat sumpah ini dikendalikan oleh mereka,” ujar sumber berkenaan.