Mesyuarat pertama kabinet bincang penjimatan kementerian

in Nasional by

Anwar bertemu masyarakat Tambun selepas program Kenduri Rakyat Bersama Perdana Menteri berhampiran Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati pada Jumaat.

IPOH – Mesyuarat pertama kabinet dijadualkan diadakan Isnin depan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, mesyuarat tersebut mesti diadakan segera sebaik sahaja senarai diumumkan petang ini.

“Bagi saya keutamaan sebaik disusun jemaah menteri, akan panggil mesyuarat jemaah menteri pada Isnin ini untuk menetapkan beberapa peraturan (seperti) cara mereka menguruskan kementerian, cara mereka berjimat, tak belanja lebih daripada biasa.

“Kita dah pulihkan sedikit keyakinan pelabur. Misalnya ringgit semakin kuat, dengan ini kos import dapat dikurangkan. Bila kos import dapat dikurangkan, kos makanan ternakan, ayam, baja dapat dikurangkan,” katanya ketika berucap pada program Kenduri Rakyat Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhampiran Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati di sini pada Jumaat.

Hadir sama pada program tersebut, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Anwar turut mengulangi bahawa kabinet yang akan diumumkan lebih kecil dan tiada lagi lantikan duta-duta khas bagi menjimatkan dana negara.

Menurutnya, perkara itu juga telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sementara itu, Anwar menjelaskan kunjungannya ke kawasan Parlimen Tambun hari ini sebagai program rasmi pertama di luar Putrajaya dan Kuala Lumpur selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.

Selain program Kenduri Rakyat, Anwar bertemu dengan masyarakat di Pasar Awam Tanjung Rambutan sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati di sini.