Misteri kiriman bom surat gempar Sepanyol

in Global by

Kiriman mencurigakan turut dihantar ke Kedutaan AS di Madrid. – Foto Agensi

MADRID – Pihak berkuasa Sepanyol pada Khamis melancarkan siasatan terhadap bom surat yang dihantar kepada ‘sasaran penting’ hingga mencetuskan pelbagai spekulasi dan ada pihak mengaitkannya dengan Rusia.

Mahkamah Tinggi mengumumkan ia telah memperluaskan siasatan awal terhadap insiden penghantaran bom surat pertama di Kedutaan Ukraine yang turut mencederakan seorang pengawal keselamatan untuk mencari maklumat mungkin ada kaitan dengan kejadian lain.

Kementerian Dalam Negeri mendakwa sampul surat mengandungi ‘bahan piroteknik’ diterima pejabat Perdana Menteri, Pedro Sanchez pada 24 November lalu, namun berjaya dimusnahkan.

Siasatan awal mendapati kesemua ‘surat’ itu dihantar melalui pos biasa.

Penghantaran pos mencurigakan bagaimanapun berjaya dikesan di ibu pejabat peralatan ketenteraan Instalaza di bandar Zaragoza,” ujar kementerian itu sambil menjelaskan firma tersebut menghasilkan pelancar bom tangan yang disumbangkan Sepanyol kepada Ukraine.

Menurutnya, bom surat berkenaan turut dihantar ke Kementerian Pertahanan dan pangkalan tentera udara di Torrejon de Ardoz di luar Madrid yang juga menjadi lokasi pembuatan senjata, yang dihantar kepada Kiev.

“Surat tersebut ditujukan kepada Menteri Pertahanan, Margarita Robles. manakala penerima surat di pangkalan tentera udara itu ialah Pusat Satelit Kesatuan Eropah. Hasil imbasan berjaya mengesan ‘mekanisme’. Polis masih menganalisis sampul surat berkenaan.

“Ciri-ciri sampul surat dan kandungannya adalah sama dengan lima kes yang disiasat ketika ini. Hasil pemeriksaan awal menunjukkan kesemua ‘surat’ itu dihantar dari wilayah Sepanyol.

“Siasatan lanjut sedang dilakukan untuk mengesahkan perkara tersebut,” ujar Setiausaha Keselamatan Negara, Rafael Perez.

Beberapa jam selepas pengumuman dibuat Perez, sepucuk lagi surat dengan ciri sama telah diterima di Kedutaan Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu, Duta Ukraine ke Sepanyol, Serhii Pohoreltsev ketika mengulas tentang misteri penghantaran bom surat tersebut dengan lantang menuding jari menyalahkan Moscow.

“Kita semua sedia maklum dengan taktik ‘negara penceroboh’ tersebut. Kaedah serangan mereka memerlukan kita supaya sentiasa siap siaga untuk menghadapi sebarang insiden atau provokasi,” katanya merujuk kepada Kremlin ketika wawancara bersama stesen TV tempatan pada lewat Rabu.

Kedutaan Rusia di Sepanyol bagaimanapun mengutuk insiden yang sengaja mengancam misi diplomatik tanpa memberi sebarang respons terhadap tuduhan yang dilemparkan Kiev.

Di Ukraine, Menteri Luar, Dmytro Kuleba mendakwa tiga kedutaan asing telah menerima surat ugutan.

Jelasnya, sampul surat itu tidak mengandungi bahan letupan sebaliknya ‘direndam dengan cecair merah’.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Kuleba telah mengarahkan kawalan keselamatan dipertingkatkan di kesemua misi diplomatik. – AFP