Pelepasan air empangan dikawal rapi Air Selangor: LUAS

in Edisi Selangor KL by

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.

SHAH ALAM – Sebarang pelepasan air empangan dilaksanakan secara berperingkat dan dikawal rapi oleh pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bagi kesemua empangan yang terlibat dengan mengambil kira keadaan trend paras sungai dan perubahan cuaca semasa.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata, susulan tular maklumat berhubung Jadual Perancangan Pelepasan Air Empangan Langat dan Empangan Semenyih yang dikeluarkan LUAS pada Jumaat sehingga menimbulkan kegusaran awam, pihaknya menegaskan bahawa jadual itu disediakan sehari sebelum tarikh pelepasan air empangan bagi tujuan pemakluman awal kepada agensi-agensi negeri yang berkaitan.

“Pemakluman awal tersebut bertujuan untuk memberi perhatian awal melibatkan kawasan-kawasan rendah di bahagian hilir empangan di mana data perancangan pelepasan tersebut adalah merupakan perancangan yang dibuat semalam (Khamis) bagi kegunaan muka sauk Loji Rawatan Air selain bagi tujuan kesiapsiagaan penyediaan ruang takungan untuk musim Monsun Timur Laut,” katanya dalam satu kenyataan malam Jumaat.

Sehubungan itu, LUAS berkata, tiada pelepasan akan dibuat sekiranya paras sungai menunjukkan trend menaik serta hujan yang lebat di kawasan hilir.

Orang awam digalakkan untuk merujuk maklumat di laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), https://publicinfobanjir.water.gov.my/ dan laman sesawang Jabatan Meterologi Malaysia, https://www.met.gov.my/?lang=en bagi maklumat berkaitan.

Selain itu, orang ramai boleh melayari portal Integrated Water Resources Information Management System (IWRIMS) bagi mendapatkan info berkaitan empangan seperti paras air, kapasiti dan peratusan takungan dan jumlah hujan di empangan di https://iwrims.luas.gov.my. – Bernama