Pencemaran Pengerang: Komposisi, jumlah gas perlu dilaporkan

in Edisi Johor by

Mohd Fadhil Md DinPenduduk di sekitar Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) PIPC terkesan dengan pencemaran bunyi dan udara.Laporan Sinar Harian pada Khamis.

PENGERANG – Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) di sini perlu bertanggungjawab melaporkan komposisi dan jumlah gas dilepaskan dalam usaha menangani masalah pencemaran udara dan bunyi bising berpunca daripada aktiviti industri mereka.

Pengarah Pusat Pelestarian Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTMCS), Profesor Dr Ir Mohd Fadhil Md Din berkata, sekiranya perkara itu tidak ditangani dengan baik dibimbangi akan mempengaruhi kesihatan penduduk berdekatan.

Menurutnya, potensi pencemaran daripada ‘oil and gas refinery plants’ dan yang berkaitan adalah signifikan kepada punca masalah asas iaitu masalah kesihatan jangka masa pendek seperti kandungan habuk dan gas yang boleh menyebabkan sesak nafas dan asma.

**media[2007591]**

“Dalam jangka panjang ada beberapa potensi karsinogenik disebabkan pelepasan secara melulu atau tidak mengikut garis panduan dalam reka bentuk dan piawaian.

“Terdapat beberapa kes gas toksik yang berbau merupakan antara indikator awal iaitu berkemungkinan adanya beberapa potensi gas hidrokarbon.

“Penelitian lanjut jenis, komposisi dan jumlah yang dilepaskan perlu dilaporkan secara bertanggungjawab oleh pemilik industri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan penduduk di sekitar Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) PIPC memohon pihak berwajib membantu mereka menangani beberapa masalah bunyi bising termasuk pencemaran udara di situ.

**media[2007595]**

Mereka mendakwa masalah tersebut dipercayai berlaku akibat aktiviti pelepasan gas daripada RAPID PIPC dan kadang-kadang rumah mereka bergegar hasil daripada aktiviti pelepasan gas.

Tinjauan Sinar Harian pula mendapati kedudukan kompleks berkenaan dilihat terlalu hampir dengan kawasan kampung hingga bunyi letusan gas dapat didengari dengan jelas hampir setiap masa.

Mohd Fadhil berkata, biasanya pencemaran udara dihadapi penduduk berhampiran kawasan industri pada peringkat awal adalah jumlah kejelagaan (flare) yang dikeluarkan pada satu-satu masa.

Jelas beliau, ini diikuti dengan bau yang sangat kuat seperti kumpulan hidrokarbon yang toksik seperti benzene dan toulene.

“Pihak industri biasanya akan membuat pemantauan secara berkala mengikut spesifikasi reka bentuk dan kapasiti yang boleh dilepaskan selepas melalui proses rawatan,” katanya.