Polis Selangor terima 458 laporan sepanjang PRU15

in Edisi Selangor KL by

Sasikala Devi ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Jumaat. – Foto Bernama

SHAH ALAM – Polis Selangor menerima 458 laporan sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di negeri ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, laporan polis diterima melibatkan pelbagai kesalahan berdasarkan laporan penugasan pihak polis terhadap ceramah dan bendera parti yang jatuh.

“Sebanyak 86 kertas siasatan dibuka dengan satu kertas siasatan dituduh mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan.

“Sebanyak 13 kertas siasatan lagi telah mendapat arahan tiada tindakan lanjut manakala selebihnya masih dalam siasatan polis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Jumaat.

Pada 21 November lalu, Pengarah Operasi PRU15 Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Hazani Ghazali memaklumkan sebanyak 3,417 laporan diterima di seluruh negara sepanjang tempoh PRU15 bermula 4 hingga 20 November.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 508 kertas siasatan telah dibuka, 149 kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, enam telah dituduh dan empat individu dijatuhi hukuman.