PRU15: 'Kita kena kerja kuat' – Wan Rosdy

in Politik by

Wan Rosdy ketika berucap pada Program Santai Anak Muda Mukim Pontian di Jeti D’Kuala Pontian, Rompin.

ROMPIN – Semua jentera parti Barisan Nasional (BN) diminta bekerja kuat bagi menawan hati pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, 7 Disember ini.

Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kemenangan kerusi DUN Tioman itu akan menjadi titik tolak kepada pengukuhan barisan kepimpinan kerajaan Pahang.

Menurutnya, pengundi yang tidak berparti, kumpulan anak muda perlu dipertingkatkan kesedaran supaya mereka menyokong BN.

“Kita sudah belajar daripada pengalaman PRU15, tiada parti yang boleh memberi jaminan boleh menang (bentuk kerajaan). Jadi kita kena kerja kuat.

“Kalau kita lihat semangat sudah terbaik dan harap BN boleh kekalkan kemenangan.

“Golongan belia pula jangan tidak kisah pasal undi kerana undi mereka penentu kepada pengukuhan kerajaan sekali gus dapat mensejahterakan rakyat,” katanya mengadakan Program Santai Anak Muda Mukim Pontian di Jeti D’Kuala Pontian di sini.

Wan Rosdy turut menyarankan golongan terbabit keluar mengundi pada 7 Disember ini.

Beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada PH kerana memberi laluan kepada BN sepanjang kempen dan memberi sokongan.

“Kita ikhlas, PH pun ikhlas… terima kasih sebab terima (kerjasama) tanpa sebarang syarat, jadi tak akanlah kita tak boleh pertimbang beberapa perkara.

“Kita sama-sama kerja kuat untuk memastikan kerajaan Pahang yang terbentuk kini lebih kukuh dan mampu memberi kesejahteraan kepada rakyat,” jelas beliau yang juga Menteri Besar Pahang.

Pada Selasa, Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli memaklumkan PH mengambil keputusan memberi laluan kepada calon BN, Mohd Johari dalam pemilihan PRU DUN Tioman.

Keputusan itu dibuat selepas Wan Rosdy bersetuju untuk bersama-sama bergabung bagi membentuk Kerajaan Perpaduan apabila semua parti tidak memiliki majoriti mudah.

Pahang mempunyai 42 kerusi DUN dan daripada jumlah itu PN beroleh 17 kerusi, BN pula sebanyak 16 dan PH hanya lapan kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRU15 bagi DUN Tioman yang ditangguhkan susulan kematian calon PN, Allahyarham Md Yunus Ramli pada 3.30 pagi hari pengundian 19 November lalu, diadakan pada 7 Disember ini.