Speedy Tigers waspada muslihat Ireland

in Sukan by

Arul Selvaraj – Foto Worldsportpics

THE Speedy Tigers bertekad meneruskan momentum kemenangan untuk mengatasi Ireland pada separuh akhir Kejohanan Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) 2022 di Afrika Selatan, pada Sabtu.

Pengendali Speedy Tigers, Arul Selvaraj berkata, skuadnya yang bangkit daripada kekalahan tipis kepada Korea Selatan untuk mara ke separuh akhir dengan menewaskan Kanada dan Jepun, mempunyai semangat tinggi untuk meneruskan rentak cemerlang mereka.

Beliau turut berharap aksi menentang pasukan ranking ke-12 dunia itu yang dijadualkan pada waktu cuaca panas, jam 1.30 tengah hari waktu tempatan di Stadium NWU Astro, Potchefstroom, dapat memberikan kelebihan kepada anak buahnya yang menghuni ranking ke-10 dunia.

“Saya rasa kekuatan pasukan Ireland terletak pada beberapa pemain yang beraksi di Liga Belanda dan Belgium. Ireland juga nampak kuat apabila berjaya meraih sembilan mata daripada tiga aksi (untuk muncul juara Kumpulan A).

“Namun, kita mempunyai kepantasan sebagai kekuatan yang diharap dapat memerangkap mereka. Selain itu, waktu perlawanan pada tengah hari juga dapat membantu kita,” katanya menerusi video yang dikongsikan.

Mengikut rekod pertemuan, Malaysia, yang muncul juara Piala Sultan Azlan Shah buat julung-julung kalinya pada awal bulan lepas, telah mencatatkan lima kemenangan, manakala Ireland mencatatkan empat kemenangan dengan dua kali aksi terikat.

Malaysia memulakan kempen Kumpulan B dengan kekalahan tipis 1-0 kepada juara Piala Asia 2022, Korea Selatan, sebelum bangkit mengatasi Kanada 3-2 dan membenam Jepun 5-1 untuk mara ke separuh akhir sebagai naib juara kumpulan dengan enam mata, di belakang Korea Selatan dengan sembilan mata.

Satu lagi aksi separuh akhir bakal menyaksikan pertembungan antara Korea Selatan dan tuan rumah Afrika Selatan.

Juara kejohanan itu akan meraih tiket ke Liga Pro FIH yang menghimpunkan pasukan terbaik dunia bagi musim 2023-2024.