Telur jadi buruan di Labuan

in Edisi Sabah Sarawak by

Para pelanggan mendapatkan bekalan telur ayam di salah sebuah pasar raya di Labuan pada Jumaat. – Foto Bernama

LABUAN – Telur kini menjadi antara barang buruan dalam kalangan pembeli di pulau bebas cukai ini kerana kesukaran mendapatkan bahan mentah ini biarpun selepas ketiadaan sekatan pergerakan akibat Covid-19.

Kebimbangan mengenai kekurangan bekalan telur di seluruh negara dibangkitkan selepas jumlah pembelian bagi pembeli dihadkan oleh peniaga dan gambar rak kosong di pasar raya besar dan pasar raya tersebar di sini.

Walaupun banyak kedai sudah pulih daripada kesan pandemik dan mampu memastikan barangan memenuhi rak, telur masih sukar ditemukan kerana peniaga bergelut untuk memenuhi permintaan.

Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Labuan, Dr Larry David berkata, kekurangan bekalan itu berikutan eksport telur dari Sabah yang terhad ke pulau ini dan kerana peningkatan dalam permintaan.

“Kami telah meminta bekalan satu juta telur sebulan dan diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah November tahun lepas tetapi untuk rekod kami hanya menerima 750,000 telur daripada pembekal.

Sebelum ini Labuan menerima dua juta telur setiap bulan dan satu juta itu sebenarnya masih tidak mencukupi untuk menampung permintaan yang meningkat di sini,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Pengurus Bataras Sdn Bhd, Elfriene Aguinaldo berkata, mereka menerima dua kali penghantaran berjumlah 3,000 bekas setiap satu berisi 30 butir telur daripada pelbagai gred (A,B,C dan gred telur premium) setiap minggu.

“Daripada 3,000 itu sekurang-kurangnya 30 peratus akan disalurkan kepada cawangan kami di Kompleks Ujana Kewangan dan bakinya untuk mengisi rak kami untuk kedai kek yang merupakan pelanggan tetap dan pengguna yang datang terus.

“Bekalan telur boleh bertahan dalam sehari setelah tiba, kami mengalami masalah bekalan bagi semua gred telur … kami sedang bekerja keras untuk mengatasinya dan memohon maaf di atas sebarang kesulitan,” katanya yang menguruskan pasar raya besar terbesar di Labuan itu.

Aguinaldo berkata, harga satu bekas telur untuk Gred A ialah RM15.30 (RM14.70 sebelum ini), Gred B RM15 (RM14.40 sebelum ini) dan RM14.70 (RM14.10 sebelum ini) bagi setiap bekas untuk Gred C, meningkat antara 40 sen dan 60 sen.

“Melihat kepada kenaikan permintaan telur, kuota bekalan telur kepada Bataras seharusnya ditingkatkan,” kata beliau.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Labuan, Junaidah Arbain berkata, bekalan telur tidak berubah biarpun harga meningkat.

“Jumlah bekalan kekal stabil dalam beberapa bulan lepas di tengah-tengah sedikit kenaikan harga tetapi ia masih tidak melebihi harga siling,” katanya.

Beliau berkata, terdapat aduan daripada orang ramai di atas harga telur yang tinggi tetapi hanya melibatkan gred premium yang bukan dalam kawalan KPDNHEP. -Bernama