Tengku Zafrul kembali ke kabinet di bawah Kerajaan Perpaduan

in Nasional by

Tengku Zafrul – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, perdana menteri ketiga yang menamakan beliau dalam barisan kabinet selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tengku Zafrul akan menggantikan bekas Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bekas pegawai bank itu memulakan tugasnya sebagai Menteri pada 9 Mac 2020 apabila beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan di bawah pentadbiran Muhyiddin seterusnya dilantik semula ke jawatan yang sama pada 27 Ogos 2021, di bawah pentadbiran Ismail Sabri.

Sepanjang tempohnya di Kementerian Kewangan, kerajaan telah melaksanakan lapan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion untuk menangani pandemik Covid-19.

Tengku Zafrul juga bertanggungjawab terhadap Pelan Pemulihan Negara dan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana).

Beliau bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Parlimen Kuala Selangor pada PRU15 namun kalah.

Sebelum dilantik dalam kerajaan, Tengku Zafrul ialah ketua pegawai eksekutif kumpulan dan pengarah eksekutif CIMB Group Holdings Bhd.

Azmin pula berkhidmat sebagai Menteri Kanan (Kluster Ekonomi) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dari tahun 2020 hingga 2022. – Bernama