YB jangan lupa janji

in Analisis Sinar by

Gambar hiasan – Foto123RF

BEBERAPA hari lalu, rakyat dikejutkan dengan ‘fenomena’ pelik apabila telur yang tidak cukup di pasaran kembali penuh di rak-rak di kedai dan pasar raya.

Sudah tentu ia menimbulkan kehairanan dengan kemunculan telur yang tiba-tiba berlambak di pasaran. Bagaimanapun, lebih ramai sebenarnya memberikan reaksi teruja terhadap perubahan positif itu.

Apatah lagi, ia berlaku sebaik sahaja Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri. Walau apa pun reaksi, ia adalah antara permulaan yang menggembirakan rakyat jelata.

Isu telur pun bukanlah asing kepada Anwar dan ia turut menarik perhatian Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

Telur membanjiri pasaran kerana ia tidak perlu lagi dieksport keluar susulan kenaikan harga ringgit selepas Anwar diperkenankan sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu.

Ternyata faktor Anwar mampu memberi pengaruh dalam menyelesaikan masalah membelenggu rakyat termasuklah kesukaran mendapatkan bekalan telur di seluruh negara sejak Oktober lalu. Bukan itu sahaja, bursa saham pun naik, ringgit juga mengukuh.

Namun, masalah-masalah lain tetap ada. Ia pelbagai, ada yang perlu ditangani secara lebih cermat, ada yang memerlukan cara dan kaedah berbeza dan ada yang memerlukan perancangan serta pelaksanaan teliti bagi memastikan ia ditangani dengan sewajarnya.

Yang jelas, dengan terbentuknya Kerajaan Perpaduan, inilah masanya pemimpin-pemimpin yang dipilih melaksanakan khidmat untuk rakyat.

Walaupun ada mempertikaikan Kerajaan Perpaduan, namun lebih ramai yang memberi harapan kepada kepimpinan baharu untuk membawa hala tuju negara ke arah lebih cemerlang.

Walaupun kabinet masih belum dibentuk ketika artikel ini ditulis, sudah ramai yang memberi pendapat, cadangan dan idea kepada kabinet Anwar.

Ada yang mahu pemilihan ahli-ahli kabinet benar-benar bersih daripada isu rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.

Ada mahu mereka yang dipilih menjadi menteri benar-benar kompeten untuk memastikan keyakinan pelabur, ada juga mahu agar dipilih orang itu dan orang ini untuk memegang portfolio tertentu.

Paling penting, ada pihak mengingatkan kerajaan menunaikan janji manifesto tanpa sebarang alasan, penangguhan atau pusingan U.

Di peringkat Parlimen, Yang Berhormat (YB) bolehlah membuat perancangan untuk pengisian dan pelaksanaan di kawasan masing-masing.

Aktiviti turun padang sudah boleh dilakukan untuk melihat apa yang belum selesai dan diberi perhatian sewajarnya.

Tunjukkanlah muka, jejakkanlah kaki di seluruh ceruk kawasan yang diwakili. Biasakanlah turun padang dan jadilah hero di kawasan masing-masing.

Bukan sedikit rakyat membangkitkan masalah. Ada merungut isu air, banjir kilat, perumahan, kemudahan dan infrastruktur, pengangguran, pengangkutan dan macam-macam lagi. Inilah masanya untuk menunaikan janji-janji yang telah ditaburkan.

Lagipun, lebih ramai melafazkan janji lebih rasional untuk rakyat dalam kempen PRU15. Ia terbukti apabila ramai pemimpin dan calon ketika kempen mengatakan mereka tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang.

Rakyat pun tidak mahukan bulan dan bintang. Mereka lebih risaukan bekalan ayam, telur, gandum, gula, minyak dan keperluan asas lain untuk meneruskan hidup di bumi Malaysia, berbanding memikirkan objek-objek di luar angkasa.

Ingatlah, cabaran di hadapan diramal semakin tinggi. Rungutan rakyat juga dijangka semakin bertambah.

Sehubungan itu, pemimpin-pemimpin perlulah bergerak pantas. Bersegeralah dan terus pandang ke depan tetapi jangan sesekali membuang janji di belakang.

Ingat janji-janji yang ditaburkan untuk rakyat ketika kempen pilihan raya bagi meraih undi. Rakyat tak mudah lupa.

Berilah perhatian supaya rakyat melihat kejujuran pemimpin dalam berkhidmat dan laksanakanlah dengan kesungguhan kerana undi diberi bukan tiket untuk mendabik dada.

Berbalik kepada isu telur, Perdana Menteri juga turut mengucapkan terima kasih kepada pihak industri berikutan bekalan telur kembali membanjiri pasaran.

Tidak timbul lagi kesukaran untuk dapatkan telur. YB juga boleh gunakan telur untuk manfaat kesihatan.

Banyak khasiat boleh diambil daripadanya, tidak hanya telur masak, yang mentah pun ada khasiat tersendiri.

Mungkin YB boleh amalkan petua-petua berasaskan telur untuk pastikan kekal cergas ketika menjaga kawasan masing-masing sehingga tamat penggal. Apa pun selamat berkhidmat!

* W Saidatul Fadzilah W Najemudin ialah Editor Pengisian Sinar Harian