Anak Kim Jong-un jadi 'fashion trendsetter?

in Global by

Ju Ae ‘diperkenalkan’ kepada umum oleh bapanya beberapa minggu lalu. – Foto Agensi

SEOUL – Gaya fesyen Kim Ju Ae yang merupakan anak pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un menjadi ikutan golongan wanita di negara itu setelah dia ‘diperkenalkan’ kepada umum oleh bapanya beberapa minggu lalu.

Akhbar Rodong Sinmun turut memaparkan gambar beberapa wanita memakai jaket sama seperti dikenakan Ju Ae ketika dia bersama bapanya mengawasi pelancaran misil balistik antara benua (ICBM) pada bulan lalu.

Menurut Dr Joung Eun-Iee, penyelidik di Institut Korea untuk Penyatuan Kebangsaan di Seoul, Ju Ae, 10, dipercayai mengikut jejak langkah ibunya, Ri Sol Ju yang pernah mempengaruhi gaya pemakaian golongan wanita di Pyongyang.

Ju Ae sendiri gemar menggayakan fesyen yang kelihatan sama seperti ibunya kira-kira sedekad lalu. Walaupun belum mencapai usia remaja, dia sudah pandai ‘mix and match’ yang bersesuaian mengikut acara serta tempat,” jelas laporan akhbar itu lagi.

Sebelum ini, pilihan fesyen Sol Ju telah memberi inspirasi kepada golongan wanita di Korea Utara setelah beliau mengenakan pakaian moden gaya Barat dengan aksesori elegan bersama beg tangan jenama mewah seperti Christian Dior.

Difahamkan, gaya fesyen di Pyongyang amat terhad kerana pemerintah melaksanakan kod pakaian yang ketat.

Pada akhir Oktober lalu, Korea Utara dilaporkan menganjurkan Pameran Pakaian Wanita 2022 untuk golongan berusia 30-an dan 40-an yang mempamerkan pelbagai pilihan seperti kot berbulu serta pakaian moden yang berkualiti. – Agensi