Cabaran dakwah umat Islam kontemporari

in Nasional by

Nouman (lima dari kiri), Syed Shahridzan (enam dari kiri) bersama tetamu dan kakitangan di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Putrajaya pada Jumaat.

PUTRAJAYA – Pendakwah hari ini memerlukan pendekatan pelbagai untuk menarik minat masyarakat Islam kontemporari kembali kepada agama dan menjalani kehidupan sebagai orang Islam sebenar.

Ketua Pegawai Eksekutif Bayyinah Institute, Nouman Ali Khan berkata, hasil daripada pemerhatian beliau sebagai pendakwah yang menjelajah di banyak negara, terdapat tiga kategori dalam masyarakat Islam.

Pertama, golongan orang Islam terpinggir. Mereka beragama Islam kerana dilahirkan dalam keluarga Islam. Namun dari segi keutamaan, sikap dan cara hidup mereka tidak sama dengan tuntutan agama sebenar. Perhubungan mereka dengan Islam hampir lenyap.

“Mereka tahu solat lima waktu tetapi tiada hubungan dengan hati. Jika boleh, mereka tidak mahu dikaitkan dengan agama selain atas desakan ibu bapa. Sebenarnya kumpulan ini paling ramai ada di dunia ini.

Kita perlu membantu golongan pertama dengan perbanyakkan berkomunikasi dan mengapa mereka menjadi orang Islam. Kebiasaannya, mereka tidak pergi mencari Islam, tetapi Islam perlu datang kepada mereka. Pendekatan ini selalu digunakan oleh tabligh untuk mengajak kepada Islam.

“Apabila diajak ke program agama, mereka menolak. Penekanan diberikan kepada mereka mengenai perkara asas agama. Bahasa yang digunakan tidak berbau islamik seperti halaqah dan khutbah, tetapi penyampaian mesej yang mengajak kembali kepada ALLAH SWT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi penceramah jemputan pada program Executive Talk bertajuk Muslim World and The Contemporary Challenges anjuran Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, di sini pada Jumaat.

Beliau juga sebagai penceramah jemputan mengupas tajuk ‘Cabaran keluarga’ pada World #QuranConvention 3.0, anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) di Dewan Perdana Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), pada Sabtu.

Tambah beliau, golongan kedua ialah orang Islam yang mencari jawapan tentang agamanya. Golongan tersebut tidak canggung berada di tempat yang dipenuhi minuman arak berbanding berada di masjid. Kebanyakan mereka tidak tahu bagaimana untuk memulakan langkah kembali kepada agama.

“Mereka lebih suka mencari ilmu agama di media sosial. Kita boleh menggunakan platform tersebut dengan memperbanyakkan bahan islamik sebagai pendedahan kepada mereka,” katanya.

Nouman berkata, golongan ketiga lebih keras pandangan mereka terhadap agama. Oleh kerana terlalu obses kepada sesuatu pandangan, mereka menganggap orang lain yang tidak sealiran dengannya dilabelkan ahli neraka.

“Ada kalangan anak muda yang baru berjinak-jinak mengenal Islam, namun terjebak dengan golongan ekstremis apabila mereka makin mendalami dan menghayati aliran tersebut.

“Mereka sanggup tinggalkan keluarga dan negara, demi jihad di luar negara. Jika mereka tersalah arah, ia boleh tersasar daripada ajaran Islam. Justeru, kita perlu membetulkan persepsi mereka melalui perbincangan ilmiah daripada kalangan agamawan seperti mufti dan ahli fuqaha.

“Berpandukan kepada dakwah Rasulullah SAW, masyarakat dididik dengan secara berperingkat. Ia umpama menanam pokok daripada biji benih. Ini menunjukkan betapa penting pembelajaran sosial dan kumpulan sokongan untuk membantu umat Islam,” katanya.

Menurutnya, Islam perlu disampaikan dengan bahasa yang mudah difahami oleh orang awam, diadakan di tempat terbuka selain masjid seperti kafe dan taman. Inisiatif tersebut adalah penting untuk melahirkan Ummatul Wahidah (umat yang satu) dan bukannya berpecah atau menyelewengkan agama.

Seramai 120 kakitangan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Cawangan Labuan sertai program Executive Talk bersama Nouman secara hibrid.

Turut hadir, Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan), Jabatan Mufti Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff, dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah WUIF, Ahmad Yani Abd Manaf.